EKONOMI > BERITA

MAICSA tetapkan penanda aras dalam tadbir urus korporat

12/08/2024 08:55 PM

Oleh Christine Lim May Yu

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) menyokong organisasi dalam mengemudi pematuhan peraturan yang kompleks dan memastikan tadbir urus korporat yang berkesan.

Presiden MAICSA, Datuk Akbar Moidunny berkata institut itu menyasarkan untuk meningkatkan pembangunan profesional dengan menawarkan program termaju dan menggalakan tadbir urus yang baik dan amalan etika merentas sektor.

Institut itu juga mahu meningkatkan penglibatan ahli melalui sokongan dan peluang yang kukuh.

"Usaha akan tertumpu bagi meluaskan pengaruh dan advokasi MAICSA di peringkat tempatan dan antarabangsa, menerima teknologi untuk menginovasi perkhidmatannya dan memupuk budaya keterangkuman dan kepelbagaian dalam profesion dan organisasi," katanya ketika berucap pada majlis pelantikan presiden MAICSA yang baharu.

Pada majlis itu Akbar diumum sebagai Presiden MAICSA ke-29.

Beliau berkata keperluan untuk setiausaha dan pentadbir bertauliah semakin ketara apabila industri di seluruh Malaysia terus berkembang.

MAICSA berada di barisan hadapan dalam memenuhi permintaan yang semakin meningkat ini.

“Peningkatan dalam pendaftaran syarikat baharu terutamanya dalam era pasca pandemik dengan peningkatan jumlah usaha niaga keusahawanan telah meningkatkan keperluan untuk tadbir urus korporat yang baik, pematuhan dan perkhidmatan pentadbiran korporat.

 "Perniagaan merentasi pelbagai sektor termasuk syarikat pemula niaga teknologi dan institusi kewangan yang mantap berkembang, mereka semakin mengiktiraf peranan penting setiausaha bertauliah dalam memastikan ketelusan, pematuhan peraturan dan kecekapan organisasi," katanya.

 Selain itu, penekanan terhadap rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menggariskan permintaan untuk profesional tadbir urus yang boleh mengemudi keperluan ini, katanya.

"Walaupun keperluan semakin meningkat untuk perkhidmatan khusus ini, ia masih terdapat kekurangan setiausaha bertauliah berkelayakan untuk memenuhi permintaan tersebut," kata Akbar.

Beliau berkata Program Kelayakan Tadbir Urus Bertauliah MAICSA adalah pilihan untuk setiausaha dan pentadbir bertauliah kerana piawaiannya yang ketat dan pengiktirafan antarabangsa.

Program itu meliputi subjek penting seperti amalan kesetiausahaan syarikat, mentafsir perakaunan kewangan, undang-undang syarikat, tadbir urus korporat, lembaga pengarah, pengurusan risiko dan banyak lagi, kesemuanya melengkapkan ahli MAICSA mencapai penanda aras global, katanya.

“Kami komited menggalakkan penanda aras ini yang berperanan membantu golongan profesional menyumbang secara berkesan kepada pembangunan organisasi.

“Dengan mengekalkan penanda aras ini, kami menyokong pertumbuhan mereka, memastikan mereka memberi perkhidmatan cemerlang dalam persekitaran kawal selia yang kompleks dan memacu kemajuan pada skala antarabangsa,” katanya.

MAICSA, badan profesional untuk Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia mempunyai keahlian lebih daripada 4,200 ahli dan siswazah, 1,800 pelajar dan 600 ahli gabungan.

Ditubuhkan pada tahun 1959, institut ini merupakan salah satu bahagian terkemuka The Chartered Governance Institute (CGI) UK.

Established in 1959, the institute is one of the distinguished divisions of The Chartered Governance Institute (CGI) UK.

Ia juga antara salah satu badan ditetapkan dalam Akta Syarikat Malaysia 2016 yang mengiktiraf ahli MAICSA untuk bertindak sebagai setiausaha syarikat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan