EKONOMI > BERITA

Empat MNO Kemuka Bidaan Bagi Tender Rangkaian 5G Kedua

15/08/2024 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) telah mengemukakan bidaan masing-masing kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil bahagian dalam rangkaian 5G kedua nanti, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata MNO itu ialah CelcomDigi Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd dan U Mobile Sdn Bhd.

“Empat daripada lima MNO (tidak termasuk YTL Communications Sdn Bhd) yang menyertai dan menandatangani perjanjian langganan saham dengan Digital Nasional Bhd (DNB) telah mengemukakan (bidaan) tender untuk melihat siapa antara mereka boleh mendapat rangkaian kedua.

“Dalam bab ini saya serah kepada MCMC untuk uruskan, saya tidak masuk campur, diharapkan syarikat dan pembekal terbaik memenanginya,” katanya semasa menyampaikan ucaptama di Konvensyen Ekosistem Pembekal 2024 Huawei Malaysia di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata keputusan bagi tawaran pelaksanaan rangkaian 5G kedua itu akan dibuat berpandukan bidaan yang telah dikemukakan oleh setiap MNO.

“Kita jangkakan dalam masa yang tidak terlalu lama, saya belum mendapat maklumat daripada pihak MCMC...mereka yang uruskan.

“Biar proses berjalan dan kita jangka dalam tahun ini...untuk dimuktamadkan dan kita boleh umumkan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan