EKONOMI > BERITA

Sarawak Catat Jumlah Perdagangan RM193.4 Bilion, Pertumbuhan Eksport Ketara Pada 2023

16/08/2024 09:40 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Sarawak merekodkan jumlah perdagangan RM193.4 bilion tahun lepas, dengan nilai eksport RM130.8 bilion manakala import pada RM62.6 bilion.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata dagangan utama ialah bahan api mineral, minyak sawit serta produk elektrik dan elektronik, manakala import utama ialah barangan perantaraan, penggunaan dan modal.

“Eksport utama dari Sarawak pada 2023 daripada perlombongan bernilai RM76.9 bilion, pembuatan pada RM35.8 bilion dan pertanian sebanyak RM17.4 bilion.

“Beberapa penyumbang utama termasuk gas asli cecair (LNG), petroleum mentah dan kondensat bernilai RM76.9 bilion, logam, kayu, kimia serta produk elektrik dan elektronik bernilai RM31.4 bilion, minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM16 bilion,” katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata demikian pada majlis perasmian Hari Eksport Sarawak 2024 di sini, pada Jumaat.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Datuk Mohd Medan Abdullah berkata tahun lepas, Sarawak merupakan penyumbang keempat terbesar kepada jumlah eksport negara, sebanyak 7.9 peratus.

Beliau berkata sektor utama yang mencatatkan pertumbuhan eksport positif meliputi bahan api mineral, pelincir, barangan perkilangan, minyak dan lelemak haiwan dan sayuran, bahan mentah, makanan yang tidak boleh dimakan dan tersedia.

“Berdasarkan pangkalan data pengeksport Matrade setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 13,454 syarikat tempatan telah berdaftar dengan Matrade, dengan 283 atau 2.1 peratus adalah dari Sarawak.

“Daripada jumlah ini, 221 (78 peratus) diklasifikasikan sebagai perusahaan mikro, kecil dan sederhana, manakala selebihnya terdiri daripada perusahaan peringkat pertengahan dan besar,” katanya.

Mohd Medan berkata walaupun menghadapi landskap ekonomi global yang tidak menentu, jumlah perdagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan