DUNIA > BERITA

Seoul Catat Rekod 'malam Tropika' Terpanjang Dalam 118 Tahun

17/08/2024 12:11 AM

SEOUL, 16 Ogos (Bernama-Yonhap) -- Seoul mengalami 'malam tropika' ke-26 berturut-turut pada Jumaat, menandakan tempoh terpanjang suhu malam kekal melebihi 25 darjah Celsius (C) dalam tempoh 118 tahun.

Menurut agensi cuaca, suhu di Seoul tidak turun di bawah 26.8 C antara 6.01 petang pada Khamis dan awal pagi Jumaat, menjadikan rekod 'malam tropika' yang bermula pada 21 Julai berlanjutan selama 26 hari berturut-turut, lapor Agensi Berita Yonhap.

'Malam tropika' berlaku apabila suhu kekal pada 25 C atau lebih tinggi dari 6.01 petang hingga 9 pagi keesokan harinya.

Suhu itu menyamai rekod sebelumnya iaitu 26 hari berturut-turut yang dicatatkan pada 2018, yang kekal sebagai tempoh paling lama sejak pemerhatian cuaca moden bermula di Seoul pada 1907.

Pada 2018, rekod 'malam tropika' bermula pada 21 Julai dan berakhir pada 15 Ogos. 

Namun, tempoh malam tropika tahun ini dijangka berterusan, dengan suhu malam kemungkinan kekal melebihi 26 C sekurang-kurangnya sehingga Rabu.

Pada Jumaat, bandar pelabuhan tenggara Busan turut mencatatkan 'malam tropika' ke-22 berturut-turut, yang merupakan tempoh terpanjang sejak pemerhatian meteorologi moden bermula di bandar itu pada 1904.

Incheon mengalami 'malam tropika' ke-24 berturut-turut, yang merupakan tempoh kedua terpanjang bagi bandar di sebelah barat Seoul, selepas rekod 26 hari pada 2018.

Di pulau selatan Jeju, 'malam tropika' berterusan untuk hari ke-32 berturut-turut.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan