EKONOMI > BERITA

Keanggotaan BRICS Akan Perkukuh Hubungan Ekonomi Malaysia Dengan India - Pengerusi AIBC

18/08/2024 11:49 AM

Oleh V. Sankara

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam BRICS, di samping kehadiran kukuh India dalam perkumpulan tersebut akan menyediakan peluang besar kepada kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama ekonomi menerusi platform perdagangan berkenaan. 

Pengasas Majlis Perniagaan ASEAN-India (Malaysia) (AIBC), Datuk Ramesh Kodammal berkata kemasukan Malaysia sebagai anggota BRICS akan memberikan kelebihan strategik dalam mengukuhkan hubungan ekonomi dengan India.

Beliau berkata sebagai anggota BRICS di samping memiliki kepentingan bersama di rantau Indo-Pasifik, akan menjadikan Malaysia sebagai hab perdagangan dan pelaburan yang penting di rantau ini.

"India sudahpun menjadi anggota penting BRICS. Keanggotaan Malaysia dalam perkumpulan itu memberikan peluang berharga bagi kedua-dua negara untuk memanfaatkan platform ini bagi manfaat bersama.

“Kerjasama diperkukuh dalam BRICS akan membolehkan Malaysia meningkatkan penglibatan ekonominya dengan India dan memanfaatkan perkongsian strategik ini,” katanya kepada Bernama.

Ramesh berkata demikian sebagai mengulas mengenai jangkaan perbincangan penting antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin India semasa lawatan rasmi beliau ke negara itu yang dijadualkan bulan ini.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang pada mulanya terdiri dari Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010. Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu.

Anwar berkata Malaysia terlebih dahulu akan menjadi "negara rakan" BRICS sebelum memuktamadkan penyertaan penuhnya dalam perkumpulan itu.

Ramesh juga menjangkakan antara perbincangan utama Anwar dengan kerajaan India adalah untuk meneruskan dan kemungkinan meluaskan lagi dasar bebas visa bagi meningkatkan pelancongan.

Warganegara India kini menikmati pengecualian visa selama 30 hari untuk masuk ke Malaysia. Dasar yang dilaksanakan pada 1 Dis tahun lalu akan berkuat kuasa sehingga 31 Dis tahun ini.

Kerajaan India juga turut mengambil langkah yang sama dengan mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada rakyat Malaysia yang berkunjung ke negara itu, bermula 1 Julai ini hingga 30 Jun 2025.

Permohonan boleh dibuat dalam talian melalui portal visa India, dengan visa elektronik pelancong diperlukan untuk digunakan dalam tempoh 120 hari daripada pengeluaran.

Mengenai kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, Ramesh berharap Anwar akan dapat mengadakan libat urus dengan para pegawai India untuk mengetengahkan peranan utama yang boleh dimainkan Malaysia sebagai hab perdagangan utama rantau ini, semasa lawatannya ke negara tersebut.

“Libat urus Anwar dengan para pegawai India akan menyerlahkan peranan strategik Malaysia sebagai hab perdagangan utama bagi rantau ini," ujarnya.

Perdagangan dua hala India-Malaysia bernilai lebih US$20 bilion (AS$1=RM4.43) pada 2023-2024 dan diunjurkan mencecah US$30 bilion menjelang 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan