AM > BERITA

Lebih 15,000 Koperasi Berdaftar Dengan 7.2 Juta Ahli Setakat 2023

18/08/2024 04:16 PM

LABUAN, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 15,809 koperasi di seluruh negara telah berdaftar dengan jumlah keahlian 7.2 juta orang setakat 31 Dis tahun lepas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata koperasi berkenaan mencatatkan modal saham dan bayaran sebanyak RM17.4 bilion dengan jumlah aset terkumpul RM165.8 bilion dan hasil keseluruhan berjumlah RM64.5 bilion.

Ewon berkata di Sabah sahaja, terdapat 1,798 koperasi berdaftar setakat 31 Dis 2023, dengan keahlian sebanyak 369,619 orang dengan hasil berjumlah RM677.8 juta tahun lepas.

“Bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran sumber manusia, selain memastikan kemampanan pergerakan koperasi, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menubuhkan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) pada Mac 2023.

“Universiti berkenaan menawarkan program diploma, sarjana muda, sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), di bawah kepimpinan Institut Koperasi Malaysia (IKMa), UKKM diharapkan akan mengubah dan meningkatkan landskap koperasi di Malaysia, menjadikannya lebih berdaya saing pada peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Ramah Mesra KUSKOP Bersempena Memasyarakatkan Gerakan Koperasi Wilayah Persekutuan Labuan 2024 di sini hari ini.

Ewon berkata UKKM dijangka memainkan peranan penting dalam membangunkan siswazah yang cekap, profesional dan berdaya usahawan dengan memanfaatkan sumber dan kepakaran daripada agensi KUSKOP yang lain.

Bagi menangani peningkatan kos sara hidup katanya, KUSKOP memperuntukkan RM2 juta tahun ini untuk melaksanakan program Jualan MADANI Koperasi yang menawarkan barangan keperluan dengan harga 20 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding biasa, di samping meningkatkan pendapatan koperasi sebagai pengendali jualan.

Setakat 31 Julai lepas, program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JKMU) telah diadakan, dengan insentif RM1.82 juta diluluskan dan mencatat jualan RM6.46 juta, memanfaatkan 212,050 pengguna melalui 230 pengendali jualan yang dilantik.

Ewon berkata kementerian komited memberikan lebih banyak peluang dan perkhidmatan kepada masyarakat setempat, memastikan tiada yang ketinggalan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya pada era pasca-COVID-19.

“Bagi tujuan ini, KUSKOP berusaha menyediakan maklumat dan mempromosikan peluang perniagaan, latihan dan pilihan pembiayaan seperti geran dan pinjaman dana pusingan yang dapat membantu pelan koperasi dan memulakan perniagaan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau percaya inisiatif berkenaan akan menggalakkan koperasi kekal relevan, berdaya saing dan berkembang, sekali gus menyokong objektif Dasar Koperasi Malaysia 2030, Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Transformasi Koperasi Malaysia 2021-2025.

“KUSKOP dan agensi di bawahnya akan terus berusaha memastikan perkhidmatan memenuhi keperluan semasa rakyat, terutamanya mereka yang berpendapatan rendah,” katanya.

Ewon berkata antara inisiatif kementerian ialah peruntukan dana sebanyak RM2.5 juta menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bagi membiayai pelaksanaan Program Pembangunan Perniagaan Koperasi tahun ini.

Program Pembangunan Perniagaan Koperasi katanya, membantu koperasi mengembangkan perniagaan dan memasarkan produk dan perkhidmatan secara dalam talian, manakala Tabung Pendidikan ANGKASA pula menyediakan pembiayaan pendidikan untuk ahli koperasi, petugas dan anak mereka.

“Pada Mei, SKM melancarkan Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) yang menyasarkan koperasi dalam industri pelancongan. Program ini menyokong koperasi dalam mempromosikan dan memasarkan produk dan perkhidmatan seperti penjagaan kesihatan, hospitaliti dan kraf, dengan harapan dapat meningkatkan penyertaan koperasi dalam industri berkenaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan