EKONOMI > BERITA

Malaysia Catat Nilai Perdagangan Tertinggi Berjumlah RM1.65 Trilion Bagi Jan-Julai 2024

19/08/2024 05:01 PM

KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2024 meningkat 9.8 peratus tahun ke tahun berjumlah RM1.652 trilion, nilai tertinggi dicatatkan untuk tempoh itu, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Eksport meningkat 5.1 peratus kepada RM862.23 bilion dan import pada 15.5 peratus kepada RM789.71 bilion dalam tempoh tujuh bulan menyebabkan lebihan dagangan sebanyak RM72.52 bilion, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi eksport barangan perkilangan, ia berkembang sebanyak 4.8 peratus tahun ke tahun kepada RM735.76 bilion disebabkan eksport jentera, peralatan dan alat ganti, produk besi dan keluli serta perkilangan logam.

Eksport barangan perlombongan pula meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada RM62.85 bilion, dibantu oleh eksport kukuh petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG) manakala eksport barangan pertanian meningkat 7.9 peratus kepada RM57.75 bilion didorong peningkatan eksport minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.

Mengenai prestasi untuk Julai 2024 sahaja, MITI berkata perdagangan melonjak 18.3 peratus tahun ke tahun, terpantas dalam tempoh 21 bulan.

Nilai itu mencecah RM255.88 bilion, tertinggi sejak Oktober 2022, kata MITI.

“Eksport meneruskan trajektori meningkat untuk bulan keempat berturut-turut, berkembang sebanyak 12.3 peratus kepada RM131.15 bilion manakala import meningkat sebanyak 25.4 peratus kepada RM124.73 bilion.

“Lebihan dagangan berjumlah RM6.42 bilion, menandakan lebihan bulan ke-51 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.

MITI berkata pertumbuhan eksport kebanyakannya didorong oleh peningkatan permintaan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, jentera, peralatan dan alat ganti, produk petroleum, serta produk elektrik dan elektronik (E&E).

Eksport ke rakan dagang utama iaitu ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah dan Taiwan mencatatkan pertumbuhan dua angka.

Berbanding Jun 2024, perdagangan, eksport dan import masing-masing meningkat sebanyak 7.6 peratus, 4.1 peratus dan 11.6 peratus, katanya.

MITI berkata semua sektor utama mencatat pertumbuhan eksport dua angka yang kukuh pada Julai 2024.

Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5 peratus daripada jumlah eksport, melonjak sebanyak 10.6 peratus kepada RM112.08 bilion.

Pengembangan tahun kelima bulan berturut-turut ini disokong oleh peningkatan eksport jentera, peralatan dan alat ganti, produk petroleum, produk E&E serta perkilangan logam, katanya.

Sementara itu, eksport barangan pertanian meningkat 32.8 peratus kepada RM10.07 bilion, disokong oleh permintaan lebih tinggi untuk minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit, mengakibatkan peningkatan volum dan harga eksport.

Eksport barangan perlombongan berkembang sebanyak 10.2 peratus tahun ke tahun kepada RM8.04 bilion, dipacu oleh eksport LNG yang kukuh dalam persekitaran volum eksport lebih tinggi.

MITI berkata pada Julai 2024, perdagangan dengan ASEAN, membentuk 27.8 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun kepada RM71.07 juta untuk pertumbuhan bulan kelima berturut-turut.

Eksport meningkat secara konsisten sejak April 2024, menokok 16 peratus kepada RM40.12 bilion manakala import dari ASEAN meningkat 17.8 peratus kepada RM30.95 bilion.

Ia berkata pertumbuhan dua angka dalam eksport direkodkan ke pasaran utama ASEAN, Singapura (meningkat 18.1 peratus tahun ke tahun kepada RM21.06 bilion), Thailand (meningkat 10 peratus kepada RM5.56 bilion) dan Vietnam (meningkat 13.8 peratus kepada RM4.95 bilion), hasil daripada eksport produk petroleum yang kukuh.

Sementara itu, perdagangan dengan China, menyumbang 16.3 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada Julai 2024, meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun kepada RM41.72 bilion, bulan keempat berturut-turut pengembangan dua digit.

Perdagangan dengan AS, mewakili 12.4 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia, naik 49.4 peratus tahun ke tahun kepada RM31.76 bilion, eksport meningkat sebanyak 30.9 peratus kepada RM17.79 bilion, menandakan nilai eksport tertinggi setakat ini, diterajui oleh permintaan lebih tinggi untuk produk E&E, jentera, peralatan dan alat ganti serta minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, import dari AS meningkat 82.2 peratus kepada RM13.98 bilion.

MITI berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang teguh sebanyak 5.9 peratus pada suku kedua 2024, justeru negara dapat mencapai unjuran pertumbuhan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) antara 4.0 hingga 5.0 peratus untuk 2024, seterusnya meningkatkan keyakinan pelabur dan membuka peluang perdagangan selanjutnya.

Di peringkat global, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan bahawa volum perdagangan (barangan) dunia akan berkembang 2.6 peratus pada 2024, peningkatan ketara daripada pertumbuhan negatif 1.2 peratus dicatatkan pada 2023.

“Keadaan ekonomi global nampaknya bertambah baik bulan ke bulan, disebabkan oleh peningkatan permintaan global walaupun WTO telah memberi amaran bahawa ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan politik mungkin mengehadkan skala pemulihan perdagangan global.

“MITI dan agensinya akan terus berwaspada terhadap sekiranya berlaku kejutan luaran global yang boleh memberi kesan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan