EKONOMI > BERITA

NCIG 2024 Fokus Pacu Ikhtiar Ketelusan Dalam Kalangan Institusi Kewangan - ADFIM

20/08/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) --  Persidangan Kebangsaan Integriti dan Tatakelola 2024 (NCIG 2024) akan memberi fokus untuk memacu ikhtiar perkongsian visi serta pengetahuan mengenai ketelusan, etika dan bebas rasuah dalam tatakelola dalam kalangan institusi kewangan pembangunan.

NCIG 2024 yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Oktober depan dianjurkan oleh Persatuan Institusi-Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan.

Setiausaha Agung ADFIM Mohd Prasad Hanif berkata selain itu NCIG 2024 akan turut menumpukan kepada perbincangan dan penyelesaian dalam menangani cabaran kontemporari, penekanan ketelusan, akauntabiliti serta langkah membanteras akar rasuah untuk mencipta impak positif terhadap ekosistem perniagaan. 

“Integriti dalam tatakelola perlu dibudayakan sebagai suatu yang sinonim serta bersimbiosis dalam semua organisasi.

“Justeru, elemen murni dan universal ini perlu diperkasakan dalam usaha menyuburkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial yang lestari,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media mengenai penganjuran NCIG 2024, di sini, hari ini. 

Mohd Prasad berkata persidangan itu diadakan bertujuan untuk menginspirasi reformasi dan inovasi dalam amalan tatakelola termasuk meneroka potensi tatakelola digital dan impaknya terhadap ketelusan serta akauntabiliti organisasi.

“Turut diberi perhatian kali ini adalah ikhtiar memperkukuhkan kolaborasi untuk mempraktik tatakelola yang berkesan serta memperkasakan keterlibatan awam dengan menyediakan platform dan melalui akses kepada maklumat,” katanya. 

Penganjuran NCIG kali ketiga ini akan membariskan beberapa speaker terkenal termasuk mantan menteri perdagangan antarabangsa dan industri Tan Sri Rafidah Aziz dan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Kami menjangkakan lebih 250 peserta dari peringkat tertinggi akan menyertai persidangan ini dengan 80 peratus speaker mewakili agensi kerajaan, manakala 20 peratus dari badan bukan kerajaan,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan