EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Petronas Dagangan Naik Kepada RM276.39 Juta Pada Suku Kedua

20/08/2024 09:45 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Petronas Dagangan Bhd meningkat sedikit kepada RM276.39 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM275.71 juta tahun lepas, disumbangkan oleh keuntungan kasar yang lebih tinggi untuk semua segmen yang mengimbangi peningkatan dalam perbelanjaan mengurus.

Hasil meningkat 10 peratus tahun ke tahun kepada RM9.84 bilion daripada RM8.91 bilion sebelumnya, didorong oleh peningkatan jumlah jualan dan harga jualan purata 5.0 peratus.

“Perolehan hasil bagi segmen runcit meningkat sebanyak RM623.3 juta, atau 14 peratus, terutamanya disumbangkan oleh jumlah jualan yang lebih tinggi sebanyak 12 peratus sejajar dengan peningkatan permintaan.

“Segmen komersial mencatatkan peningkatan dalam hasil sebanyak RM288.0 juta, atau 7.0 peratus, dan segmen serbaneka mencatatkan peningkatan sebanyak RM14.1 juta, atau 24 peratus," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Peruncit bahan api itu mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham untuk suku kedua, berjumlah RM198.69 juta, yang akan dibayar pada 18 Sept 2024.

Sementara itu, keuntungan bersih Petronas Dagangan bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2024, susut kepada RM502.43 juta daripada RM577.55 juta, tetapi hasil meningkat 10 peratus kepada RM19.23 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas sebanyak RM17.56 bilion.

Pertumbuhan ini didorong oleh harga jualan purata yang lebih tinggi, sejajar dengan harga minyak mentah Brent yang ditutup pada US$84.97 setong pada suku kedua, peningkatan 8.8 peratus daripada suku kedua 2023.

Mengenai prospeknya, Petronas Dagangan berkata ia menjangka dapat mengekalkan prestasinya dalam kedua-dua segmen runcit dan komersial, disokong oleh ekonomi domestik yang diunjurkan berkembang sebanyak empat hingga lima peratus.

"Fokus sekarang adalah untuk mengukuhkan perniagaan runcit dengan memperoleh pelanggan baharu dan meneroka peluang baharu dengan rakan kongsi strategik. Sasaran segmen komersial pula ialah dengan memanfaatkan pemulihan sektor penerbangan dan sektor margin nilai tinggi yang lain dengan kelebihan harga yang kompetitif," katanya.

Ia berkata segmen serbaneka  berada di landasan untuk terus mengembangkan perniagaan bukan bahan api kumpulan itu. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan