EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Suku Kedua Petronas Gas Susut Sedikit Kepada RM468.99 Juta

20/08/2024 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Petronas Gas Bhd (PGB) mencatatkan penyusutan sedikit dalam keuntungan bersihnya kepada RM468.99 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun, 2024 berbanding RM485.37 juta setahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, PGB berkata keuntungan yang lebih rendah bagi suku itu adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang lebih tinggi, terutamanya daripada perbelanjaan susut nilai dan kos penyelenggaraan berikutan lebih banyak projek yang telah disiapkan dan aktiviti yang dijalankan, ditambah dengan kesan inflasi.

Syarikat itu berkata hasil bagi suku kedua adalah lebih tinggi sedikit kepada RM1.65 bilion berbanding RM1.64 bilion sebelum ini, dengan hasil yang lebih tinggi daripada pemprosesan gas berikutan caj tempahan yang meningkat di bawah terma baharu dan hasil lebih tinggi daripada pengangkutan gas disebabkan pelarasan tarif yang meningkat.

"(Bagaimanapun), ia sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih rendah daripada segmen utiliti selaras dengan harga produk yang lebih murah," tambahnya.

Bagi separuh pertama 2024, PGB mencatatkan keuntungan bersih RM925.64 juta berbanding RM909.55 juta tahun ke tahun, disokong oleh pengurangan kos operasi daripada perbelanjaan gas bahan api dan penggunaan gas domestik yang lebih rendah.

Hasilnya berjumlah RM3.27 bilion, menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 1.4 peratus atau RM45.4 juta daripada RM3.31 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh pendapatan yang lebih rendah dalam segmen utiliti, didorong oleh penurunan harga produk walaupun jumlah jualan lebih tinggi.

“Bagaimanapun, kesannya telah diimbangi oleh peningkatan hasil daripada pemprosesan gas yang mendapat manfaat daripada caj tempahan yang lebih tinggi di bawah syarat-syarat baharu serta tarif yang lebih tinggi dalam pengangkutan gas,” katanya.

Sehubungan itu PGB mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 16.0 sen sesaham, konsisten dengan suku sebelumnya untuk menunjukkan komitmen kumpulan dalam memberikan nilai kepada pemegang sahamnya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan