EKONOMI > BERITA

Persidangan Bateri ASEAN Ke-2 Pupuk Kerjasama, Perkongsian Ilmu

21/08/2024 06:20 PM

SINGAPURA, 21 Ogos (Bernama) -- Persidangan Teknologi Bateri ASEAN (ABTC) kali kedua bermula hari ini di Sentosa bertujuan memupuk pertukaran pengetahuan serta kerjasama masa depan dalam kalangan pemain industri dan pakar teknologi bateri di rantau ini.

Acara tiga hari anjuran Konsortium Bateri Singapura dengan kerjasama NanoMalaysia Bhd, Persatuan Teknologi Penyimpanan Tenaga Thailand (TESTA), Institut Penyelidikan Bateri Nasional dan Pusat Nasional Teknologi Pengangkutan Lestari Indonesia serta Persatuan Kenderaan Elektrik Filipina.

Bertemakan “Memperkasa ASEAN, Menginovasi Masa Depan Bateri,” ABTC tahun ini telah menarik lebih 320 peserta dari 16 negara dan menampilkan perbincangan mengenai peraturan keselamatan bateri, teknologi sel ke pek termasuk strategi kitar semula di seluruh ASEAN, antara lain.

Timbalan Ketua Eksekutif (Teknologi) Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura, Lam Wee Shann berkata semasa ucapan pembukaannya, persidangan itu diadakan tepat pada masa iaitu ketika Singapura berusaha ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Bateri adalah komponen kenderaan elektrik (EV) yang paling mahal tetapi ia juga merupakan komponen yang digunakan dalam banyak aplikasi dan sektor lain selain pengangkutan darat.

“Pada akhirnya, kami juga sangat berminat untuk melihat bagaimana kami boleh bekerjasama dengan industri,” katanya.

Pengerusi Bersama ABTC dan Presiden TESTA, Dr Pimpa Limthongkul berkata persidangan itu menghimpunkan pemegang kepentingan utama dalam pembangunan teknologi bateri di rantau ini bagi menyelaraskan selain terus bekerjasama ke arah membina ekosistem tenaga yang kukuh.

“Pembangunan teknologi bateri mampan di Asia Tenggara adalah penting untuk keselamatan tenaga jangka panjang di rantau ini. Dengan mengutamakan kemampanan, kami bukan sahaja memacu inovasi tetapi juga memastikan kemajuan kami menyumbang kepada persekitaran planet yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan.

Persidangan Teknologi Bateri dan Kenderaan Elektrik ASEAN Pertama di Bali, Indonesia, tahun lepas menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara enam persatuan serta organisasi terkemuka di rantau ini, termasuk NanoMalaysia, untuk meneroka kerjasama penyelidikan dan pembangunan.

Melalui MoU itu, pihak-pihak berkenaan berhasrat untuk bersama-sama membangunkan dan mempromosikan ekosistem bateri ASEAN yang akan memudahkan pertumbuhan industri bateri di rantau ini.

Penganjuran ABTC digilirkan dalam kalangan penganjur bersama. Pada 2025, TESTA akan menjadi tuan rumah persidangan itu di Thailand.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan