EKONOMI > BERITA

Untung Bersih YTL Corp Naik Hampir Dua Kali Ganda Kepada RM2.14 Bilion Pada Tahun Kewangan 2024

21/08/2024 09:42 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih YTL Corporation Bhd (YTL Corp) meningkat hampir dua kali ganda kepada RM2.14 bilion pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 daripada RM1.09 bilion pada tahun kewangan 2023, dipacu terutama berikutan perniagaan utiliti yang lebih kukuh.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan meningkat kepada RM30.52 bilion daripada RM29.61 bilion.

Cabang utilitinya, YTL Power International Bhd mencatat keuntungan bersih RM3.46 bilion berbanding RM2.02 bilion sebelumnya, disebabkan prestasi yang lebih baik dalam segmen penjanaan kuasa.

Perolehan menokok kepada RM22.32 bilion daripada RM21.89 bilion pada tahun kewangan 2023.

YTL Corp berkata perolehan bahagian penjanaan kuasa menyusut kepada RM15.24 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM16.21 bilion tahun lepas berikutan harga yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh pengukuhan dolar Singapura berbanding ringgit.

Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 49.6 peratus kepada RM3.68 bilion daripada RM2.46 bilion sebelum ini disebabkan margin yang lebih baik dan perbelanjaan faedah yang rendah berikutan pembayaran balik pinjaman.

Bagi segmen air dan pembetungan, perolehan meningkat kepada RM5.21 bilion daripada RM4.26 bilion, naik 22.2 peratus, didorong terutamanya daripada kontrak baharu yang diraih di pasaran runcit bukan isi rumah, peningkatan harga seperti yang dibenarkan oleh pengawal selia, di samping pengukuhan pound Britain berbanding ringgit.

Katanya PBT yang meningkat bagi unit industri simen dan bahan binaan pada tahun yang dikaji, telah dipacu oleh penstabilan harga jualan simen domestik dan campuran siap.

Sementara itu, perkhidmatan pengurusan kumpulan dan unit lain turut mencatatkan peningkatan PBT, disumbangkan oleh pendapatan faedah yang tinggi dan keuntungan nilai saksama ke atas saham Ranhill Utilities Bhd, yang diraih pada tahun kewangan 2024.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2024, YTL Corp mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak RM534.48 juta daripada RM548.02 juta berikutan perolehan sebanyak RM8.27 bilion berbanding RM9.20 bilion dalam suku yang sama pada tahun kewangan 2023.

Pada masa depan, kumpulan itu menjangka prestasi segmen perniagaannya akan kekal berdaya tahan memandangkan sebahagian besar segmen perniagaan utamanya terlibat dalam perkhidmatan penting.

Katanya kumpulan akan terus memantau dengan teliti risiko dan kesan yang berkaitan terhadap semua segmen perniagaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan