EKONOMI > BERITA

Glomac Selesaikan Penyerahan Program Sukuk Wakalah Bernilai RM3.0 Bilion

21/08/2024 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Glomac Bhd menyelesaikan penyerahan program Nota Jangka Sederhana Islam bernilai nominal sehingga RM3.0 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) di bawah Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai.

Program itu adalah berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar (Sukuk Wakalah).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Glomac berkata program Sukuk Wakalah itu berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar akan membolehkan penerbit sukuk dari semasa ke semasa menerbitkan Sukuk Wakalah yang tidak dinilai dan diberi penarafan yang mana nilai nominal Sukuk Wakalah yang belum selesai tidak akan melebihi RM3.0 bilion pada satu-satu masa.

"Program Sukuk Wakalah ini hendaklah mempunyai tempoh yang berterusan. Penerbitan pertama Sukuk Wakalah di bawah program ini hendaklah dibuat dalam tempoh 90 hari perniagaan daripada tarikh penyerahan dan tempoh setiap Sukuk Wakalah yang akan diterbitkan di bawah program ini hendaklah melebihi satu tahun," katanya.

Glomac berkata hasil yang diperoleh daripada program itu akan digunakan oleh penerbit dan anak syarikatnya untuk pembiayaan patuh syariah, iaitu membiayai pembelian tanah; pembiayaan semula pinjaman sedia ada atau pembiayaan yang patuh syariah serta pembiayaan di masa depan yang patuh syariah termasuk mana-mana Sukuk Wakalah yang belum selesai.

Selain itu hasil tersebut juga akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan modal, keperluan modal kerja dan tujuan korporat am yang lain; untuk membiayai baki minimum yang perlu dikekalkan dalam akaun rizab perkhidmatan kewangan yang patuh syariah; serta untuk menanggung yuran, kos dan perbelanjaan yang ditanggung atau akan ditanggung berkaitan dengan program Sukuk Wakalah.

Maybank Investment Bank Bhd ialah penasihat utama tunggal, pengatur utama tunggal, pengurus utama dan penasihat penstrukturan kemampanan untuk program Sukuk Wakalah, manakala Maybank Islamic Bank Bhd ialah penasihat syariah untuk program itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan