EKONOMI > BERITA

GEC Umum Perkongsian Strategik Dengan NAICO Untuk LIMA 2025

21/08/2024 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Penganjur bersama rasmi Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, Global Exhibitions & Conferences Sdn Bhd (GEC) mengumumkan perkongsian strategik dengan National Aerospace Industry Corporation Malaysia (NAICO) Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, GEC berkata kerjasama ini bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak untuk memacu inovasi, memperluaskan jangkauan pasaran dan memberikan nilai tambah kepada pemain industri aeroangkasa.

“Sebagai sebahagian daripada pakatan strategik ini, GEC dan NAICO Malaysia akan bekerjasama terhadap inisiatif untuk memperluaskan jangkauan LIMA kepada rakan tempatan dan luar negara kedua-duanya,” katanya. 

Pengarah Urusan GEC Abd Hafiz A Bakar berkata kerjasama ini sesuai dengan matlamat strategiknya, membolehkan kedua-dua pihak menggabungkan pengalaman dan sumber untuk menghasilkan penyelesaian baharu. 

“NAICO Malaysia mempunyai rekod yang terbukti cemerlang untuk bertindak sebagai titik fokus bagi pihak berkepentingan sektor aeroangkasa, kementerian dan agensi kerajaan yang sesuai, universiti, dan institut penyelidikan untuk bekerjasama meningkatkan kecekapan dan keupayaan industri penerbangan tempatan,” katanya. 

Menurut GEC, perkongsian strategik ini akan bermula hari ini, yang menyaksikan kedua-dua syarikat terlibat dalam mempromosikan LIMA 2025 sebagai asas perkongsian.

“Kerjasama ini menekankan komitmen GEC kepada inovasi dan pertumbuhan serta mengukuhkan komitmen NAICO Malaysia untuk memberi nilai luar biasa kepada pemain industri aeroangkasa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan