EKONOMI > BERITA

AirAsia Sasar Lonjak Kapasiti Perjalanan Singapura

22/08/2024 05:05 PM

SEPANG, 22 Ogos (Bernama) -- AirAsia merancang untuk meningkatkan lagi kapasiti perjalanan udara ke Singapura, kata Pengarah Urusan AirAsia Malaysia, Datuk Kapten Fareh Mazputra Fairuz.

Beliau berkata laluan Kuala Lumpur-Singapura, yang paling sibuk di dunia, penting untuk melonjakkan pelancongan.

Kerjasama dengan Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dan Changi Airport Group memberikan peluang besar untuk memanfaatkan rangkaian penerbangan AirAsia yang luas bagi memperkukuh hubungan antara negara jiran, katanya kepada pemberita selepas pelancaran livery pesawat AirAsia ‘Love, Singapore' di sini, pada Khamis.

Menerusi kerjasama STB, Gardens by the Bay dan Mandai Wildlife Group, AirAsia melancarkan livery pesawat 'Love, Singapore' sebagai sebahagian usaha mempromosikan pelancongan ke Singapura dari Malaysia, Thailand dan Indonesia dengan memanfaatkan kemuncak pelancongan akhir tahun di rantau ini.

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif STB Asia Tenggara Terrence Voon, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Mandai Wildlife Group Jean Choi dan Pengarah Kanan Pembangunan Perniagaan dan Kemampanan Gardens by the Bay, Addison Goh.

Rekaan pada badan pesawat Airbus A320 itu menampilkan tarikan ikonik Singapura, termasuk Gardens by the Bay dan taman hidupan liar Mandai Wildlife Group seperti Zoo Singapura dan Bird Paradise, bersama Merli yang merupakan karakter jenama Singapura terkemuka yang diilhamkan oleh Merlion.

Fareh Mazputra berkata pada masa ini pihaknya mengendalikan 286 penerbangan mingguan keluar masuk Singapura dari Malaysia.

“Kami mahu mengembangkan laluan masuk dan keluar dari Singapura. Pada masa ini, kami menawarkan 10 destinasi namun, kami menyasar untuk meningkatkannya melalui kerjasama lebih baik dengan STB dan Changi Airport Group,” katanya.

Beliau berkata Airbus A320 akan berada dalam perkhidmatan menjelang akhir bulan ini, menyasarkan negara Asean supaya pengembara dapat menghargai projek ini.

Voon berkata pihaknya gembira bekerjasama dengan AirAsia dan kalangan pemegang kepentingan industri pelancongan dalam mempromosikan Singapura menerusi ruang udara serantau.

“Pelbagai acara dan pengalaman yang menarik ditawarkan kepada pelancong untuk melawat serta mengunjungi semula Singapura tahun ini.

“Kami menggalakkan mereka untuk mengambil peluang daripada tawaran hebat yang akan dilancarkan bersama rekaan ‘Love, Singapore’ untuk menempah percutian seterusnya ke Singapura,” katanya.

Bagi 2024 setakat ini, Singapura menerima 682,110 pelancong dari Malaysia antara Januari hingga Julai.

China dengan 1.86 juta pengunjung pada tempoh yang sama, diikuti Indonesia (1.51 juta) dan India (718,660).

“Malaysia adalah pasaran serantau utama Singapura, dengan bilangan pelancong dan hasil pelancongan secara konsisten melebihi tahap sebelum COVID-19.

“Pelancongan Singapura terus pulih pada 2024. Dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, kami merekodkan 9.8 juta pengunjung, mewakili kira-kira 88 peratus daripada tahap sebelum COVID-19,” kata Voon.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan