EKONOMI > BERITA

Tujuh Negeri Lepasi Kadar Kapasiti Penggunaan Pembuatan Pada Suku Kedua 2024

21/08/2024 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Sebanyak tujuh negeri melepasi kadar kapasiti penggunaan industri pembuatan nasional pada suku kedua 2024.

Penggunaan kapasiti industri pembuatan negara meningkat sebanyak 3.8 mata peratus tahun ke tahun kepada 82.1 peratus pada suku tersebut daripada 78.3 peratus pada suku kedua 2023.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), tujuh negeri berkenaan ialah Labuan (94.3 peratus), Terengganu (84.8 peratus), Pahang (84.7 peratus), Selangor (84.6 peratus), Negeri Sembilan (84.4 peratus), Melaka (83.5 peratus), dan Johor (83.3 peratus).

Selain itu, hampir semua negeri mencatatkan peningkatan tahun ke tahun dalam kadar penggunaan kapasiti, kecuali Terengganu dan Kelantan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pada suku kedua 2024, semua subsektor mencatatkan penggunaan kapasiti melebihi 80 peratus.

Kadar tertinggi dicatatkan oleh subsektor kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain  (86.0 peratus); diikuti dengan produk tekstil, pakaian, kulit dan kasut (82.8 peratus); dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (82.3 peratus).

"Berbanding suku tahun sebelumnya, kapasiti penggunaan industri pembuatan meningkat 1.3 mata peratus berbanding suku pertama 2024 sebanyak 80.8 peratus.

"Kadar kapasiti penggunaan yang lebih tinggi turut digambarkan dalam peningkatan Indeks pengeluaran perindustrian bagi industri pembuatan sebanyak 4.9 peratus berbanding setahun lepas," katanya.

Beliau berkata penggunaan kapasiti dalam industri berorientasikan eksport meningkat 3.9 mata kepada 81.3 peratus pada suku kedua 2024 daripada 77.4 peratus pada suku kedua 2023, manakala penggunaan kapasiti dalam industri berorientasikan domestik juga meningkat sebanyak 3.4 mata peratus kepada 83.7 peratus pada suku kedua 2024.

Mohd Uzir berkata permintaan yang rendah, kekurangan bahan, dan penyelenggaraan mesin dan peralatan yang berterusan adalah faktor utama yang mempengaruhi penggunaan kapasiti dalam industri pembuatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan