EKONOMI > BERITA

Bursa Malaysia Ditutup Tinggi, Disokong Sentimen Positif Prestasi Kewangan Korporat

22/08/2024 07:32 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan semula dan ditutup tinggi pada Khamis didorong pembelian semasa harga murah, selepas mengalami penurunan selama dua hari berturut-turut, kata penganalisis.

Beliau berkata prestasi itu juga disokong oleh keyakinan pelabur terhadap pelaporan prestasi kewangan korporat yang masih berjalan, selain pergerakan positif di Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada penutupan dagangan, FTSE Bursa Malaysia KLCI (KLCI) meningkat 6.34 mata atau 0.39 peratus kepada 1,641.66 daripada 1,635.32 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 5.01 mata lebih tinggi pada 1,640.33 dan bergerak antara 1,634.69 dengan 1,642.14 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 616 berbanding 446 manakala 497 kaunter tidak berubah, 938 kaunter tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.72 bilion unit bernilai RM3.08 bilion daripada 3.27 bilion unit bernilai RM2.90 bilion pada Rabu.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI ditutup tinggi hari ini dan menjejaki semula paras 1,640 serta prestasi positif semalaman di Wall Street.

“Ini dipengaruhi oleh minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) yang dikeluarkan, sekali gus mengukuhkan jangkaan bagi pengurangan kadar bulan depan.

“Walaupun kenyataan Fed memberikan sedikit keyakinan namun, pelabur tetap berhati-hati menjelang laporan data pekerjaan mingguan, yang akan dikeluarkan lewat malam ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kenaikan hari ini diterajui oleh sektor perladangan dan utiliti yang mengalami penyusutan ketara bagi tiga hari lepas.

“Selain itu, pestasi kewangan positif yang direkodkan beberapa syarikat dalam rantaian bekalan pusat data (iaitu utiliti, komunikasi, produk perindustrian dan infrastruktur tenaga) mengesahkan pandangan kami bahawa pusat data serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, akan kekal sebagai pemacu utama bagi separuh kedua 2024,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata kenaikan FBM KLCI hari ini didorong oleh minat belian terhadap saham mewah susulan kecenderungan kepada kadar faedah rendah berdasarkan minit mesyuarat Fed.

“Bagi bursa tempatan, kami menjangkakan aliran meningkat berterusan susulan sentimen pasaran semakin positif dan wujudnya keyakinan baharu terhadap pengurangan kadar faedah di Amerika Syarikat.

“Kami menjangkakan FBM KLCI berada dalam aliran berjulat 1,640 hingga 1,660 menjelang hujung minggu,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 8.0 sen kepada RM10.44, Tenaga Nasional kurang 4.0 sen kepada RM13.86, Public Bank turun 4.0 sen kepada RM4.59, manakala CIMB Group dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.89 dan RM6.32.

Bagi saham aktif, Elridge Energy yang baru disenaraikan di Pasaran ACE meningkat 11.0 sen kepada 40 sen, YTL Power melonjak 45.0 sen kepada RM4.20, MY E.G. Services naik 2.0 sen kepada 94 sen manakala Cape EMS menguncup 2.5 sen kepada 40 sen, dan Velocity Capital turun setengah sen kepada 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 17.45 mata kepada 12,426.24, Indeks FBM Emas Syariah naik 26.56 mata kepada 12,375.43, manakala Indeks FBM 70 susut 34.11 mata kepada 17,962.12 dan Indeks FBM ACE merosot 62.14 mata kepada 5,274.14.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan melonjak 89.54 mata kepada 7,199.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 1.14 mata kepada 183.38, manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 70.64 mata kepada 19,107.32 dan Indeks Tenaga turun 15.07 mata kepada 920.65.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.85 bilion unit bernilai RM2.69 bilion daripada 1.72 bilion unit bernilai RM2.63 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran sebanyak 1.10 bilion unit bernilai RM129.70 juta berbanding dengan 1.13 bilion unit bernilai RM133.44 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE melonjak kepada 768.36 juta saham bernilai RM260.94 juta daripada 409.12 juta saham bernilai RM133.80 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan 260.57 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan industri (374.99 juta), pembinaan (116.72 juta), teknologi (220.16 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (98.56 juta), hartanah (230.68 juta), perladangan (35.79 juta), REIT (15.52 juta), dana tertutup (15,500), tenaga (192.03 juta), penjagaan kesihatan (74.16 juta), telekomunikasi dan media (26.90 juta), pengangkutan dan logistik (84.69 juta), utiliti (124.02 juta), dan amanah perniagaan (133,600).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan