EKONOMI > BERITA

Peningkatan Sektor Teknologi Malaysia Galakkan Rancangan Peluasan IBM

15/08/2024 12:12 PM

Daripada Nur Athirah Mohd Shaharuddin

SINGAPURA, 15 Ogos (Bernama) -- Penyedia awan hibrid dan kecerdasan buatan (AI), International Business Machines Corporation (IBM), melihat potensi pertumbuhan kukuh di Malaysia berasaskan peningkatan kalangan pelabur teknologi dan pusat data sejak kebelakangan ini.

Pengurus Besar dan Ketua Teknologi Asean IBM Catherine Lian berkata pihaknya memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem kerjasama swasta di samping membangunkan strategi untuk meningkatkan rantaian nilai teknologi di Malaysia.

“Langkah kerajaan Malaysia mengutamakan peningkatan rantaian nilai adalah perkara yang menarik untuk diikuti.

 “Kami yakin Malaysia ialah hab pertumbuhan ekonomi, dan berlandaskan kestabilan politik, kami teruja dengan perkara yang bakal berlaku tahun depan,” katanya kepada Bernama selepas taklimat media di luar persidangan IBM Think 2024 di sini.

Persidangan sehingga 15 Ogos itu akan meneroka cara AI memanfaatkan potensi ekonomi Asean.

Lian berkata IBM amat didorong oleh peningkatan bilangan pusat data di Malaysia, yang disifatkan sebagai bukti ‘pertumbuhan pesat’ sektor teknologi Malaysia.

“Ini benar-benar menunjukkan rantaian nilai bagi pertumbuhan ekonomi adalah jelas.

“Walaupun kami mendapati banyak pelaburan merentas portfolio teknologi ini namun, IBM berminat untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan memacu teknologi dan penerimagunaan AI generatif dalam pusat data ini,” katanya.

Beliau memuji peranan kerajaan Malaysia dalam memupuk pertumbuhan ekonomi dan menarik pelaburan langsung asing.

IBM komited untuk menjajarkan penyelesaian teknologinya dengan inisiatif nasional itu, katanya.

Lian berkata bagi jangka masa panjang, IBM akan terus memajukan penyelesaian awan hibrid dan AI dengan kerjasama pelanggan Malaysia.

“Apabila kami mempertimbangkan prospek Malaysia, penerimagunaan AI telah pun bermula di semua industri. Penting untuk penyedia teknologi seperti IBM terus memacu penyelesaian AI awan hibrid bagi melancarkan perjalanan transformasi digital bersama pelanggan kami di Malaysia,” katanya.

IBM menawarkan kepakaran global dalam awan hibrid, AI dan khidmat nasihat, selain membantu pelanggan memanfaatkan pandangan jauh mengenai data, memperkemas proses perniagaan, mengurangkan kos dan memperoleh kelebihan daya saing.

Awan hibrid menggabungkan awan awam, awan persendirian dan infrastruktur di premis untuk mewujudkan persekitaran teknologi maklumat yang kukuh, fleksibel dan menjimatkan kos.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan