EKONOMI > BERITA

Misi Perniagaan Khas Francais Ke London Sasar Potensi Pelaburan Lebih RM34 Juta - KUSKOP

23/08/2024 11:52 AM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan melebihi RM34 juta hasil Misi Perniagaan Khas Francais ke London, United Kingdom (UK) pada 13 hingga 17 Ogos lalu.

Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad berkata misi berkenaan disertai lapan usahawan francais Malaysia iaitu syarikat UCMAS, Little Caliph, Marrybrown, Global Art, CIC Where Leaders Are Born, Q-Dees, Beard Brothers dan EL&N.

"Kami berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, usahawan francais Malaysia akan dapat memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia untuk berkembang lebih jauh di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suriani yang mengetuai misi berkenaan berkata lawatan itu juga bertujuan membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam antara usahawan Malaysia dan UK serta mencari jalan untuk memanfaatkan potensi dan peluang pasaran di kedua-dua negara. 

Beliau berkata KUSKOP komited untuk membantu usahawan Malaysia terutama dalam menyediakan kemudahan dan sokongan yang diperlukan bagi menembusi pasaran antarabangsa, selain meningkatkan persefahaman antara kedua-dua negara dalam usaha untuk terus merancakkan sektor francais serta perniagaan selaras dengan hasrat Malaysia MADANI.

Antara pengisian misi ini adalah pertemuan dengan pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di London, lawatan kerja ke Battersea, Café EL&N milik syarikat francais dari UK yang mempunyai cawangan di Malaysia serta Meet Bros Steakhouse iaitu usahawan francais Malaysia yang beroperasi di negara itu.

Turut diadakan perbincangan meja bulat bersama kesemua lapan usahawan syarikat francais bagi merangka strategi potensi francais di UK, kata Suriani.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan