KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia oleh Fitch Ratings merupakan satu pengiktirafan terhadap kemajuan ekonomi Malaysia seperti aspirasi di bawah kerangka Ekonomi MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkara itu khususnya melibatkan komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan yang signifikan.
"Ini khususnya komitmen Kerajaan MADANI untuk melaksanakan pembaharuan signifikan dalam perundangan dan institusi yang menghasilkan dasar yang lebih jelas dan baik serta pengurusan ekonomi yang berkesan," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) pada Selasa.
Menurut MOF, Fitch menyatakan bahawa kepastian dasar dalam negara telah bertambah baik ekoran kestabilan kerajaan yang dicerminkan oleh pengenalan pelbagai pembaharuan ekonomi, termasuk pengukuhan tata kelola entiti milik kerajaan serta perundangan, antara lain Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023.
Perkara itu adalah selaras dengan pandangan Tabung Kewangan Antarabangsa yang menyatakan bahawa pelaksanaan agenda pembaharuan oleh kerajaan adalah bertepatan dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti dan pertumbuhan inklusif, tambah kementerian itu.
Semalam, Fitch telah mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada BBB+ dengan tinjauan 'Stabil'.
MOF menjelaskan pemacu utama yang menyokong penarafan itu adalah momentum pertumbuhan yang kukuh dan meluas; kedudukan politik yang stabil; lebihan akaun semasa secara berterusan dengan pelaburan langsung asing yang teguh; dan penurunan defisit fiskal.
Ekonomi Malaysia berkembang dengan kukuh pada 5.3 peratus, bagi suku ketiga 2024 didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan prestasi sektor luar yang bertambah baik, tambah MOF
Menurut MOF kerajaan yakin untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang teguh pada 2024, yang telah disemak naik lebih tinggi kepada lingkungan 4.8 peratus dan 5.3 peratus, daripada anggaran awal antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus.
Kerajaan komited untuk melaksanakan konsolidasi fiskal, merapatkan jurang defisit secara beransur-ansur yang dianggarkan 4.3 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) pada 2024 kepada 3.8 peratus pada 2025, tambah kementerian itu.
Menurut MOF, Belanjawan 2025 telah digubal untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus pada 2025.
Kerajaan komited untuk meningkatkan pengurusan fiskal melalui perluasan asas hasil, penggunaan sumber yang optimum dan meneruskan rasionalisasi subsidi, khususnya RON95, tambah MOF.
Pembaharuan struktur dan institusi juga diberi keutamaan selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI untuk mentransformasikan ekonomi, meningkatkan nilai rantaian, menggalakkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan berpendapatan tinggi serta meningkatkan produktiviti dan daya saing negara, jelas kementerian itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial