EKONOMI > BERITA

Malaysia Dan India Akan Tingkatkan FTA - Tengku Zafrul

25/08/2024 11:41 AM

Oleh Shakir Husain

NEW DELHI, 25 Ogos (Bernama) -- Malaysia dan India merancang untuk meningkatkan hubungan ekonomi mereka melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang dipertingkatkan susulan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini. 

Dalam pertemuan dua hala mereka, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi membincangkan kerjasama erat dalam beberapa bidang seperti ekonomi digital, pembuatan semikonduktor, kecerdasan buatan, infrastruktur, keterjaminan makanan dan pelancongan.

“Kami akan meningkatkan kerjasama yang ada kepada kerjasama yang lebih menyeluruh untuk merangkumi semua aspek ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz kepada Bernama.

Beliau berkata Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA), yang ditandatangani pada 2011 dan meliputi terutamanya perdagangan dan pelaburan, akan dipertingkatkan.

“Kedua-dua Perdana Menteri memberi kami tempoh tiga bulan untuk memberikan maklum balas mengenai bidang yang ingin difokuskan dan parameter yang diperlukan untuk penaiktarafan tersebut,” kata Tengku Zafrul, yang mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke India.

Dalam lawatan itu, pelbagai topik dibincangkan antara Malaysia dan India yang turut mewujudkan peluang perniagaan yang berpotensi besar dalam teknologi baharu, tenaga boleh baharu, kimia dan petrokimia serta pembangunan tenaga kerja.

Perdagangan antara Malaysia dan India mencatatkan US$16.5 bilion (US$1=RM4.372) tahun lepas.

India ialah destinasi ke-11 terbesar Malaysia untuk eksport dan sumber import ke-12 terbesar.

Dalam trend perdagangan yang berubah, eksport produk elektrik dan elektronik Malaysia ke India meningkat dengan ketara manakala komoditi utama menurun daripada dua pertiga dua dekad lepas kepada satu pertiga daripada semua eksport pada masa ini.

Begitu juga, eksport India, yang mempunyai komponen besar untuk barangan pertanian sebelum ini, kini mempunyai sejumlah besar untuk produk petroleum dan barangan kejuruteraan.

Sektor semikonduktor mempunyai potensi besar untuk bekerjasama dengan India, kata Anwar dalam ucapan beliau pada Majlis Hal Ehwal Dunia India pada 20 Ogos lepas.

Anwar berkata Malaysia adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dan kepakaran negara terletak terutamanya pada pemasangan, ujian dan segmen pembungkusan dalam rantaian nilai semikonduktor manakala keupayaan India dalam perisian yang hampir tiada tandingan.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan