EKONOMI > BERITA

Kerjasama NVIDIA-YTL Perkukuh Infrastruktur AI Malaysia - Tengku Zafrul

23/08/2024 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kerjasama antara NVIDIA dan YTL Power International dapat memperkukuh infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di Malaysia dan memastikan teknologi AI yang dibangunkan sesuai dengan keperluan serta nilai budaya negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dengan infrastruktur AI yang canggih, Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menjadi antara hab utama AI serantau.

“Kerjasama itu dapat membuka peluang dalam membangunkan model bahasa besar (LLM) dalam Bahasa Melayu.

“Kerjasama ini akan membawa superkomputer terpantas ke negara kita, ditempatkan di YTL Green Data Center Park, Kulai, Johor, dan dijana sepenuhnya oleh tenaga solar,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X pada Jumaat.

Beliau berkata selain itu, usaha tersebut selari dengan aspirasi negara mengikut Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 untuk menjadi negara yang mengutamakan awan dan memperkukuh ekosistem AI tempatan

Inisiatif seperti ini akan memanfaatkan inovasi, mewujudkan peluang untuk bakat tempatan dalam sektor teknologi, serta menarik lebih banyak pelaburan dan kepakaran antarabangsa, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia di persada global dalam bidang AI, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan