EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Suku Kedua Time Dotcom Susut Kepada RM99.05 Juta, Umum Dividen Khas

26/08/2024 07:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Time Dotcom Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2024, susut kepada RM99.05 juta daripada RM2.26 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya berikutan penamatan operasi perniagaan Pusat Data AIMS.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan telekomunikasi itu berkata ketiadaan keuntungan daripada operasi ditamatkan itu dimasukkan dalam suku kedua 2024 memandangkan transaksi berkenaan selesai pada 20 April, 2023.

Perolehan hasilnya meningkat 7.5 peratus kepada RM418.49 juta daripada RM389.20 juta sebelum ini berikutan pertumbuhan ketara disumbangkan oleh peruncitan dan diikuti oleh langganan borong dan perusahaan.

Bagi separuh pertama 2024, Time Dotcom mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM209.72 juta daripada RM2.38 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas manakala hasil menokok sebanyak 10.4 peratus kepada RM836.25 juta berbanding RM757.62 juta sebelum ini.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut mengumumkan dividen pengecualian cukai interim satu peringkat khas sebanyak 18.93 sen bagi sesaham biasa dengan pembayaran berjumlah kira-kira RM350 juta.

Tarikh pembayaran ditetapkan pada 25 Sept, 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Afzal Abdul Rahim berkata tumpuan kumpulan itu kekal pada usaha mengembangkan liputan untuk mencapai dan memberi perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

“Kami akan terus memantau pasaran bagi memenuhi keperluan pasaran yang berubah,” katanya.

Pada masa sama, kumpulan kekal komited untuk mengembangkan lagi kedudukannya selain melabur dalam rangkaiannya.

Selain itu, kumpulan berkenaan akan terus mengoptimumkan operasi selain meningkatkan pendekatan dalam menyediakan produk dan perkhidmatan peneraju pasaran merentasi segmen pelanggan selain mengukuhkan komitmen kemampanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan