EKONOMI > BERITA

Lazada Keluarkan Laporan Impak ESG Untuk Tahun Kewangan 2024

28/08/2024 12:20 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Lazada, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara hari ini mengeluarkan laporan tahunan impak alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) bertajuk ‘Mempercepatkan Inovasi, Mengukuhkan Ketahanan’ bagi tahun kewangan (FY) 2024.

Dalam kenyataannya hari ini Lazada memaklumkan laporan itu adalah usaha dan pencapaian berterusan Lazada Group, berasaskan empat teras utama rangka kerja ESG iaitu pemerkasaan komuniti, tenaga kerja sedia masa depan,Forex pengawasan alam sekitar dan tadbir urus yang berkesan. 

Menurut kenyataan itu antara yang menjadi sorotan utama dalam laporan itu ialah pengenalan platform pengumpulan data karbon dalaman yang dibangunkan untuk mengesan dan memantau pelepasan karbon kumpulan itu. 

Platform tersebut menggunakan metodologi pengiraan karbon berasaskan aktiviti yang ditambah baik dan sentiasa diperhalusi bagi mencerminkan keadaan dunia nyata sekali gus memperoleh maklumat lebih tepat bagi pengurusan pelepasan yang berkesan.

“Penambahbaikan ini meningkatkan kualiti dan ketepatan data untuk pelepasan gas rumah hijau (GHG) Skop 1 dan Skop 2, menjadikannya lebih kukuh berbanding tahun sebelumnya. Secara khususnya, pelepasan yang dilaporkan telah menurun sebanyak 54 peratus dalam Skop 1, masing-masing 8 peratus dan 30 peratus untuk Skop 2 dan Skop 3.

“Pelaksanaan pelbagai inisiatif pengoptimuman perniagaan bagi mengurangkan penggunaan elektrik secara keseluruhan juga menyumbang penurunan 40 peratus dalam keseluruhan pelepasan GHG Lazada berbanding tempoh laporan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group James Dong dipetik dalam kenyataan itu sebagai berkata laporan tersebut menunjukkan komitmen berterusan  untuk memberi impak positif terhadap alam sekitar dan pihak berkepentingan utama dalam ekosistem e-dagangan termasuk pekerja, pembeli, penjual dan komuniti.

“Keyakinan kami terhadap masa depan Lazada berdasarkan komitmen kami untuk memupuk pertumbuhan jangka panjang menerusi penyesuaian berterusan dan pembinaan ketahanan. Kami tetap fokus untuk membina nilai bagi pemegang kepentingan kami, memacu kemakmuran ekonomi dan menyokong pembangunan lestari di seluruh rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Am Lazada Group Lazada Gladys Chun berkata kelestarian merupakan usaha berterusan yang perlu diurus secara holistik, sehubungan itu pihaknya percaya terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam penjejakan dan pelaporan kemajuan yang dicapai.

“Kami bangga dengan pencapaian kami dalam perjalanan ini kerana kami berusaha untuk memberi sumbangan positif dan bermakna kepada ekosistem e-dagang yang lebih luas, selain komuniti dan alam sekitar,” katanya. 

Laporan Impak ESG FY 2024 Lazada disediakan dengan merujuk kepada Piawaian Inisiatif Pelaporan Global (GRI) 2021. Laporan penuh boleh diperoleh di https://lazada-com.oss-ap-southeast-1.aliyuncs.com/200-press-release.pdf.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan