EKONOMI > BERITA

Rakyat Malaysia Pilih Jenama Tempatan Berbanding Luar Negara - Shopee

28/08/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kajian oleh Shopee Malaysia baru-baru ini mendapati 98 peratus daripada respondennya percaya bahawa membeli-belah secara tempatan membantu mengukuhkan dan meningkatkan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

Platform e-dagang dalam talian itu melalui satu kenyataan berkata ini menyerlahkan rasa bangga dan solidariti nasional di kalangan pengguna.

Menjelang Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-67, kajian “Sayangi Malaysia, Jom Rai Lokal 2024” ke atas lebih 2,000 pembeli Malaysia mendedahkan bahawa rakyat Malaysia berkemungkinan 15 kali lebih besar untuk menyokong usahawan tempatan berbanding jenama luar negara, mencerminkan komitmen yang kuat terhadap perniagaan lokal. .

Ketua Perisikan Pemasaran dan Perniagaan Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata sokongan ke atas produk dan perkhidmatan tempatan membantu meraikan warisan Malaysia, mengukuhkan masyarakat serta mampu meningkatkan ekonomi.

“Sokongan terhadap perniagaan tempatan bukan sekadar semata-mata membuat pembelian; ia adalah pelaburan dalam komuniti dan masa depan ekonomi kita,” katanya.

Kajian itu mendedahkan bahawa sembilan daripada 10 rakyat Malaysia mempercayai penjual tempatan mampu memenuhi pesanan dan menangani pertanyaan mereka dengan berkesan, menonjolkan kebolehpercayaan serta kualiti perkhidmatan perniagaan tempatan selain mengukuhkan ikatan antara pengguna dan jenama tempatan.

Selain daripada menyokong perniagaan tempatan, tinjauan itu juga menunjukkan bahawa 70 peratus rakyat Malaysia menyokong kuat peniaga wanita dan luar bandar.

Ini menyerlahkan kepentingan keterangkuman serta pemerkasaan dalam ekonomi tempatan, menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih luas dan pasaran yang lebih saksama.

Tambahan pula, keputusan 80 peratus responden dalam memilih produk buatan dalam negara ini, mencerminkan penghargaan mereka terhadap ketukangan tempatan dan komitmen mereka bagi mempromosikan komuniti tempatan. Ini membantu memastikan pengagihan peluang ekonomi yang lebih seimbang.

Shopee juga telah mengambil langkah untuk menyokong penjual tempatan dengan memasukkan ciri seperti tunai semasa penghantaran, jaminan tepat masa dan polisi pulangan percuma 15 hari.

Kesannya,  85 peratus responden berkemungkinan lebih menjurus untuk menyokong penjual tempatan, menyerlahkan keseimbangan penting antara kemudahan dan kebolehpercayaan semasa membeli-belah dalam talian.

Tan menambah bahawa semakin hampirnya Hari Kebangsaan, usaha kolektif ini menjadi lebih bermakna kerana opsyen bagi pembelian jenama tempatan akan mengukuhkan masyarakat selain sebagai satu penghormatan ke atas semangat kemerdekaan dan perpaduan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan