EKONOMI > BERITA

Sektor Perbankan Kekal Menarik, OPR Stabil Pada 3 Peratus - Kenanga

04/09/2024 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) menjangkakan pelabur akan terus memberi tumpuan kepada sektor perbankan yang kekal menarik dalam persekitaran keadaan ekonomi bertambah baik.

Bagaimanapun, bagi perspektif jangka panjang, bank pelaburan itu berpendapat bahawa pasaran telah melihat pelaburan yang ketara dalam saham pertumbuhan tinggi, mungkin didorong oleh pelabur asing yang memanfaatkan pengukuhan ringgit.

"Walaupun momentum mungkin kekal dalam jangka pendek, kami berhati-hati mengenai potensi pemberian pinjaman berlebihan untuk memenuhi permintaan pasaran yang boleh mendedahkan bank kepada risiko lebih tinggi terutamanya daripada beberapa projek besar," katanya menerusi nota penyelidikan mengenai kemas kini sektor, hari ini. 

Bagi suku kedua musim pendapatan 2024, Kenanga mengekalkan saranan "overweight" terhadap sektor perbankan dengan kesemua sepuluh bank melaporkan pendapatan seiring dengan jangkaan.

Ia berkata asas jangka pendek bagi sektor itu kekal kukuh, disokong oleh permintaan domestik kukuh dan pembangunan ekonomi.

Tekanan margin faedah bersih semakin berkurangan apabila kos pendanaan menjadi menyederhana dan risiko kualiti aset semakin berkurangan.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia yang dijangka kekal tidak terjejas daripada penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang masih belum diputuskan.

Justeru, Kenanga berkata bahawa bank mempunyai skop terhad untuk mengurangkan kos pembiayaan dengan ketara.

Hasilnya, Kenanga menjangkakan bahawa OPR akan kekal stabil pada 3.00 peratus sepanjang 2024 dan 2025.

"Bank masih mendapat manfaat daripada perkembangan ekonomi yang menyokong seperti projek infrastruktur dan pelaburan strategik iaitu pusat data yang beroperasi di Malaysia, ia membawa kepada peningkatan keperluan pembiayaan.

"Pasaran dagangan yang lebih aktif juga harus menyumbang kepada pendapatan bukan faedah berasaskan fi yang lebih baik, mengekalkan pulangan terhadap ekuiti dalam tempoh terdekat," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan