EKONOMI > BERITA

Perhubungan Kukuh Ke Pedalaman Lonjak Perdagangan Libatkan Pelabuhan ASEAN

08/09/2024 10:20 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

PUTRAJAYA, 8 Sept (Bernama) -- Perhubungan yang kukuh dengan kawasan pedalaman dan keseragaman metrik atau sistem penilaian yang diiktiraf secara universal ke atas data empirikal perlu dimilki kalangan negara ASEAN untuk meningkatkan akses pasaran kepada perdagangan menerusi laut, kata pakar maritim.

Pakar Logistik Kanan STC Next Rotterdam Dr Henri Mickel Sandee berkata aliran bebas perdagangan dan penyepaduan dalam rangkaian perindustrian juga perlu wujud.

Gabungan kesemua komponen itu akhirnya akan melonjakkan perdagangan dalam dan luar rantau ini, katanya kepada Bernama di luar Persidangan Logistik dan Pelabuhan Maritim Antarabangsa (ICMLP) 2024 baru-baru ini.

Sandee ialah antara penceramah dalam sesi “Pasaran yang Sedang Pesat Membangun dan Peluang dalam Sektor Logistik dan Pelabuhan Maritim”.

Beliau berkata pemajuan kesalinghubungan pelabuhan laut-pedalaman membantu menyokong pembangunan dan kemampanan ekonomi serantau dengan mengurangkan kos pengangkutan serta meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan sekali gus akan membolehkan perdagangan dan pelaburan berkualiti dalam rantau ini.

Jaringan perhubungan yang berkesan dengan kawasan pedalaman juga akan membantu menyepadukan kawasan yang mengalami kekurangan dari segi geografi dan seterusnya meningkatkan aktiviti ekonomi umum, katanya.

Sandee berkata walaupun pelabuhan dalam ASEAN masing-masing telah mencapai kemajuan ketara dari segi pendigitalan, pengurusan pelabuhan dan kemampanan namun, tiada kayu pengukur untuk menilai prestasi malah hanya sedikit tumpuan diberikan kepada jaringan perhubungan ke pedalaman.

Beliau berkata ASEAN telah mewujudkan pelan induk untuk kesalinghubungan merangkumi pelan tindakan justeru, sudah tiba masanya blok ekonomi ini mula menetapkan penanda aras melalui petunjuk empirikal yang baik.

Perkara itu akan membolehkan perbandingan kemajuan antara negara dilaksanakan dan menghasilkan keseragaman, katanya.

“Mengapa kita perlu membandingkan antara negara? Ini kerana jika sesetengah negara melakukannya secara lebih baik berbanding negara lain, kita boleh belajar daripadanya, tetapi jika kita semua menggunakan petunjuk berbeza, ia pasti sukar.

“Jika anda mengukur berdasarkan indeks prestasi logistik Bank Dunia, ia hanya mengukur kecekapan proses import di lapangan terbang utama dan pelabuhan laut utama,” katanya.

Indeks logistik itu, berdasarkan 600 set soalan kaji selidik yang telah dilengkapkan oleh penyedia perkhidmatan logistik, mungkin tidak menggambarkan keadaan dengan tepat kerana tidak semua penyedia mengambil bahagian dalam proses tersebut, katanya.

Beliau yang memetik Malaysia, Singapura dan Thailand berkata berdasarkan senario semasa, pelabuhan ASEAN membangunkan kriteria dan petunjuk masing-masing untuk mengukur prestasi kecekapan.

“Jika kita mahu membandingkan prestasi itu maka, mungkin sudah tiba masanya untuk ASEAN mempunyai satu set petunjuk tunggal,” katanya.

Lima pelabuhan terbesar di Asia Tenggara diterajui oleh Pelabuhan Singapura, yang juga pelabuhan kedua paling sibuk dalam kalangan 100 pelabuhan kontena paling sibuk di dunia pada 2023, berdasarkan kedudukan terkini Lloyd's List.

Pelabuhan kedua terbesar di ASEAN ialah Pelabuhan Klang, yang melonjak dua anak tangga ke kedudukan 11 dalam ranking itu.

Pelabuhan Tanjung Pelepas, yang terletak di Johor berhampiran Singapura, ialah pelabuhan ketiga terbesar di Asia Tenggara, diikuti Pelabuhan Laem Chabang di Thailand dan Pelabuhan Tanjung Priok di Indonesia.

Mengenai rangkaian perhubungan dengan wilayah pedalaman ASEAN, Sandee berkata blok ekonomi ini perlu menangani rangkaian perhubungan antara pelabuhan kontena utama ke kawasan pedalaman terutama jika rantau ini menyasar untuk melonjakkan perdagangan dalam dan luar ASEAN.

“Kita lebih memberikan perhatian kepada pelabuhan dan usaha menjadikan penghantaran supaya lebih kompetitif tetapi, kita sering terlupa bahawa kesalinghubungan dengan kawasan pedalaman masih belum mencapai standard yang sepatutnya.

“Oleh itu, strategi untuk menambah baik rantaian bekalan perlu benar-benar mengambil kira mod pengangkutan ke kawasan pedalaman,” katanya.

Sandee berkata rangkaian yang lemah ke kawasan pedalaman menyebabkan kos pengangkutan ke dan dari pelabuhan menjadi lebih tinggi.

“Kos yang ditanggung di pelabuhan adalah agak terhad berbanding dengan jumlah kos rantaian bekalan untuk pergerakan barang apabila kos pengangkutan ke kawasan pedalaman adalah lebih besar walaupun jaraknya pendek.

Sandee memetik kos penghantaran barang ke Laem Chabang dari Laos berjumlah US$1,000 disebabkan rangkaian pengangkutan ke kawasan pedalaman yang lemah, manakala dari Laem Chabang ke Singapura hanya US$300.

“Jadi, jika benar-benar mahu menjadikan rantaian bekalan anda lebih berdaya saing, kita perlu menyusun strategi bagi mengurangkan jumlah US$1,000 itu untuk pengangkutan dari Laos, dan mengurangkan kos serta melihat ASEAN secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata selain itu, perkhidmatan digital yang lebih baik antara pelabuhan dan kawasan pedalaman adalah penting untuk penghantaran tepat pada masa, pembayaran lebih pantas dan tempoh berada di pelabuhan kargo yang lebih singkat.

“Menyepadukan penyelesaian digital awam dan swasta penting untuk mencapai hasil yang positif, selain itu mengatasi kesesakan teknikal dan menggalakkan penggunaan lebih meluas juga perlu bagi merealisasikan potensi pendigitalan sepenuhnya dalam sektor logistik ASEAN,” katanya.

Beliau berkata pelabuhan kini lebih bersifat digital, namun tidak banyak kemajuan yang dicapai dalam pendigitalan bagi rangkaian kawasan pedalaman jika membandingkan perkembangan sebelum COVID-19 dan pasca-COVID-19.

“Penggunaan alat digital bagi rangkaian kawasan pedalaman pula hanya pada skala yang terhad,” katanya.

Teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) membolehkan syarikat menjangkakan ketibaan kapal dengan tepat di samping menjalankan analisis berterusan, sekali gus membolehkan pihak kapal merancang untuk semua perkhidmatan yang diperlukan, katanya.

Sandee juga berkata kalangan negara ASEAN boleh memberi perhatian tambahan kepada peranan AI dalam mengurangkan kos menjalankan perniagaan di kawasan pedalaman.

“Contohnya, di banyak negara, jika anda ingin menyewa trak, anda masih perlu melakukannya menerusi panggilan telefon. Belum lagi ada platform khusus. Jika anda mahu mendapatkan perkhidmatan lain, anda juga perlu melakukannya sedemikian. Jadi, betu-betul ada keperluan untuk membangunkan platform ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan