EKONOMI > BERITA

Projek PPP Di Selangor Sumbang RM71 Bilion Kepada Pelaburan Swasta

09/09/2024 02:34 PM

CYBERJAYA, 9 Sept (Bernama) -- Pelaksanaan Projek Kerjasama Awam-Swasta (PPP) telah membantu memacu perkembangan ekonomi di Selangor, dengan anggaran sumbangan sekurang-kurangnya RM71 bilion dalam pelaburan swasta di negeri itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata ini merangkumi projek mega yang membawa manfaat signifikan kepada rakyat antaranya Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Shah Alam-Ulu Kelang (SUKE), Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), Balai Bomba dan Penyelamat Kinrara serta Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara.

“Impak projek PPP ini tidak dapat disangkal lagi kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dengan menambah baik kemudahan infrastruktur utama, malah memberi manfaat sosial yang signifikan.

“Sebagai contoh, projek pembesaran terminal C10 hingga C17 di Pelabuhan Barat, yang perjanjian konsesinya telah ditandatangani pada 8 Dis 2023, dijangka menyumbang kepada impak ekonomi sebanyak RM55 bilion serta menyumbang RM19 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di sini hari ini.

Menambah projek-projek tersebut akan membuka 6,000 peluang pekerjaan sepenuh masa, Amirudin menekankan bahawa pelaksanaan projek PPP perlu memegang kepada prinsip pembangunan yang mampan, inklusif dan seimbang bukan sahaja dari sudut ekonomi malah dari aspek sosial dan alam sekitar.

Justeru,  setiap projek perlu mengambil kira kelestarian alam sekitar dan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, katanya. 

Mengenai PIKAS 2030 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Amirudin berharap ia akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama produktif antara negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan pada masa hadapan. 

PIKAS 2030 merupakan inisiatif bersepadu untuk mengukuhkan tatakelola dan pengurusan projek yang dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta sebagai usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Muhammad Razman Abu Samah dalam ucapannya berkata PPP telah mengalami pelbagai peralihan sejak dilaksanakan pada 1981.

Katanya, pelan induk terakhir berkaitan PPP telah digubal pada 1991 yang dikenali sebagai Pelan Induk Penswastaan (PIP 1991) yang kini telah berusia 33 tahun.

“Selaras dengan perkembangan persekitaran dan ekonomi semasa, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memberi nilai tambah kepada dasar berkaitan PPP sedia ada dan matlamat utama PIKAS 2030 adalah menyediakan landskap PPP yang teguh dan mampan untuk memacu kesejahteraan negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan