EKONOMI > BERITA

Keuntungan Bersih Suku Pertama 2025 Matrix Concepts Susut Kepada RM60.69 Juta

22/08/2024 04:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) bagi suku pertama 2025 yang berakhir 30 Jun, 2024, merosot kepada RM60.69 juta daripada RM64.60 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil juga susut sebanyak 15.6 peratus kepada RM279.72 juta daripada RM331.43 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan sumbangan hasil yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Menurut pemaju hartanah itu, pengiktirafan hasil daripada projek utama mereka, Sendayan Developments, menurun sebanyak 16.6 peratus kepada RM250.3 juta berbanding RM300.0 juta pada tahun sebelumnya.

Matrix Concepts berkata hasil daripada pembangunan hartanah lain iaitu The Chambers di Kuala Lumpur, Bandar Sri Impian di Kluang dan operasinya di Australia, juga mencatatkan pengurangan sebanyak 44.3 peratus kepada RM11.8 juta pada suku pertama 2025 daripada RM21.3 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

”Sumbangan hasil yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya penyiapan pembinaan projek M Greenvale di Australia dan The Chambers pada tahun sebelumnya,” katanya.

Sehingga 30 Jun 2024, jualan belum dimasuk kira Matrix Concepts berjumlah RM1.59 bilion, menyediakan tampungan pendapatan yang besar untuk tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.

Mengenai prospek masa depan, syarikat itu berkata ia berada di kedudukan baik untuk mencapai pertumbuhan mampan, dipacu oleh beberapa faktor termasuk permintaan kukuh terhadap tawaran hartanahnya, terutamanya pada projek utamanya, Sendayan Developments.

“Prestasi kukuh ini adalah berikutan semakin ramai penduduk di Lembah Klang yang memilih untuk berpindah ke kawasan pinggir bandar dengan jaringan jalan raya dan hubungan yang lebih baik, serta peningkatan dalam pengaturan kerja jarak jauh dan fleksibel.”

“Syarikat juga giat melakukan simpanan tanah untuk memastikan kelancaran perancangan projeknya pada masa depan,” kata Matrix Concepts.

Syarikat tersebut mengumumkan dividen interim tunggal sebanyak 2.5 sen setiap saham, dengan tarikh ex-dividen (tarikh bagi menentukan sama ada pemegang saham layak atau tidak menerima dividen yang diisytiharkan) pada 25 Sept 2024, dan tarikh pembayaran pada 10 Okt 2024.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan