EKONOMI > BERITA

Midwest Composites Ke Peringkat Akhir Kejohanan Pemula Niaga Di AS

09/09/2024 03:29 PM

KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Midwest Composites bakal berentap di peringkat akhir kejohanan pemula niaga Startup World Cup di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) selepas menjuarai acara Startup World Cup (Malaysia) 2024 di sini, baru-baru ini.

Wakil Midwest Composites akan ke Lembah Silikon pada Oktober depan bagi acara yang menyaksikan pembentangan idea di depan barisan pelabur global bagi merebut hadiah pelaburan bernilai US$1 juta.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Midwest Composites Sethu Raaj berkongsi harapan untuk berkongsi dengan dunia mengenai syarikat pemula Malaysia yang bertaraf dunia dan mempunyai inovasi yang sejajar dengan mana-mana ekosistem global.

Wakil syarikat rakan strategik acara itu, Ketua Pembangunan hab teknologi Cyberview Sdn Bhd Shafinaz Salim berkata Kejohanan Startup World Cup berkenaan menjadi bukti terhadap bakat serta visi usahawan yang membentuk masa depan Malaysia.

“Kami teruja melihat kemampuan Midwest Composites yang juga syarikat pemula niaga daripada kohort Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) muncul sebagai juara.

“Pencapaian ini jelas membuktikan kecemerlangan bakat dan semangat inovasi syarikat itu, sekali gus menekankan kepentingan menyokong serta memupuk kemampuannya yang berpotensi muncul sebagai syarikat unicorn Malaysia seterusnya,” katanya.

Growth Charger, syarikat pemula pemecut dan inkubator, menjadi hos peringkat akhir Startup World Cup 2024 bagi Malaysia.

Acara itu yang diadakan serentak dengan hari sambutan kemerdekaan dan Hari Malaysia, turut memaparkan aspirasi negara menjadi peneraju ekosistem syarikat pemula global menjelang 2030 sebagaimana digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030.

Inisiatif itu seiring dengan cita-cita negara untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab inovasi serta kemajuan digital, menyediakan platform bagi usahawan Malaysia mempamerkan kemampuan masing-masing di arena global.

Sebanyak 10 syarikat pemula yang berpotensi tinggi dan dipilih daripada kumpulan kompetitif, membentangkan penyelesaian perniagaan dalam pelbagai sektor seperti teknologi pendidikan, penjagaan kesihatan, tenaga hijau, pertanian dan platform digital.

Menyentuh kejayaan Midwest Composites, Pengarah merangkap Pengasas bersama Growth Charger Iskandar Shafi'i berkata pencapaian itu juga membuktikan inovasi serta potensi dalam ekosistem pemula niaga Malaysia.

“Dalam usaha menuju ke Lembah Silikon pada Oktober ini, kami percaya mereka akan memberi impak yang bermakna di persada global, malah persaingan merebut pelaburan US$1 juta itu menjadi peluang untuk menjadi pengubah.

“Kejayaan itu turut menekankan misi kami dalam melonjakkan syarikat pemula Malaysia ke pentas global,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan