EKONOMI > BERITA

Marriott Mahu Buka 20 Lagi Hotel Di Malaysia, Manfaatkan Ledakan Sektor Pelancongan

10/09/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Marriott International kini memulakan pelan pengembangan besar-besaran di Malaysia, termasuk membuka 20 hotel baharu dengan memanfaatkan ledakan sektor pelancongan dan riadah di Asia Tenggara.

Berikutan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Marriott International David S. Marriott berkata kumpulan itu yang merangkumi 30 jenama hotel, juga terbuka kepada langkah seperti penggabungan, pengambilalihan serta kerjasama bagi mencapai sasaran berkenaan.

Beliau turut berkongsi mengenai sejarah Marriott bertapak di Malaysia hampir tiga dekad lepas menerusi pembukaan Hotel Renaissance Kuala Lumpur pada 1996 dan hari ini, jenama itu mengendalikan 50 hotel di seluruh negara ini.

“Saya bercakap dengan ayah saya (Bill Marriott) sebelum ke sini dan beliau sempat mengimbau bagaimana kami hanya mempunyai dua hotel pada 2003 semasa lawatan pertamanya ke Malaysia lebih 20 tahun lepas.

“Beliau juga kagum dengan pertumbuhan luar biasa yang dicapai di Malaysia," kata David pada sesi meja bulat media di sini, hari ini.

 

Pembukaan hotel baharu di lokasi tumpuan ramai

Hotel-hotel baharu yang dijangka dibuka bagi tempoh tahun ini dan 2029 akan dimulakan dengan The Millen iaitu Autograph Collection yang dijadual dirasmikan di Pulau Pinang pada tahun ini.

Selain itu, Marriott turut memeterai perjanjian francais dengan Iconic Penang Sdn Bhd bagi pembukaan Hotel Iconic Marjorie, Pulau Pinang selain Hotel Tribute Portfolio juga pada 2024 manakala Sheraton Johor Bahru dan Hotel AC di Ipoh pula dijadual dibuka pada 2025.

Pada masa sama, kumpulan itu memeterai perjanjian pengurusan dengan Westfield Global Sdn Bhd bagi membawa jenama The Westin ke Pulau Pinang manakala kerjasama dengan Kumpulan SKS bagi membuka Courtyard by Marriott Subang, kedua-duanya pada 2026.

Dalam pada itu, Julai lepas turut menyaksikan Marriott memeterai janji niaga dengan Ideal Property Group untuk membuka Penang Marriott Hotel Queens Waterfront dan Marriott Residences Queens Waterfront di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang dijadual pada 2029. 

  

Penerbangan terus pacu prospek pertumbuhan 

Pada sesi meja bulat media itu, David turut berkongsi mengenai pertemuan produktif beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal hari ini.

"Kami membincangkan peluang serta persepsi yang kami perolehi di Malaysia, termasuk keperluan untuk lebih banyak syarikat penerbangan dan serta khidmat penerbangan secara terus ke negara ini, terutama untuk pasaran bernilai tinggi.

“Selain itu, perbincangan kami turut menyentuh bagaimana Malaysia boleh meningkatkan lagi usaha mempromosi aspek keunikan tarikannya kepada dunia,” katanya.

David juga menyuarakan keterujaannya untuk kembali bertandang ke Malaysia di masa akan datang, termasuk menyelami tarikan ekopelancongan negara ini seperti orang utan, harimau serta hidupan liar lain yang tidak sempat beliau nikmati dalam kunjungan kali ini.

Kehadiran beliau adalah bersempena dengan perasmian Kompleks Marriott Pulau Pinang yang juga hartanah ke-50 Marriott di Malaysia.

Ini juga sejajar dengan kapasiti beliau sebagai pengerusi ketiga Marriott International dalam sejarah 97 tahun penubuhan syarikat berkenaan.

"Ayah dan datuk saya merintis usaha membuka syarikat ini dan membuat persediaan yang membawa kepada kejayaan kami pada masa kini," katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan