EKONOMI > BERITA

PKS Jerman Mahu Teroka Peluang Kerjasama Baharu Dengan Malaysia

15/09/2024 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Persekutuan Jerman (BVMW) berhasrat meneroka peluang kerjasama baharu dengan Malaysia, sejajar kepentingan negara ini sebagai rakan dagang utama Jerman di ASEAN.

Langkah saling memanfaatkan kekuatan masing-masing akan turut membolehkan Berlin dan Kuala Lumpur memastikan pertumbuhan mampan bagi jangka panjang, sebagaimana diketengahkan pada acara Hari Diplomatik PKS Jerman di Berlin, baru-baru ini.

Kedutaan Besar Malaysia menjadi tuan rumah acara pada 9 September lepas yang disasarkan untuk ahli Senat Ekonomi Persekutuan PKS BVMW selain menjadi medan bagi komuniti diplomatik dan perniagaan berhimpun serta saling bertukar idea untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara.

Dalam kenyataannya, pihak kedutaan itu berkata acara berkenaan dihadiri oleh 90 ahli Senat Ekonomi Persekutuan BVMW yang diketuai oleh Senator a.D. Christoph Ahlhaus yang juga pengerusi Lembaga Eksekutif Persekutuan BVMW.

Senat Ekonomi Persekutuan merupakan sebuah badan berpengaruh dalam BVMW yang merangkumi eksekutif peringkat tertinggi, usahawan dan pemimpin perniagaan yang mewakili kepentingan PKS di Jerman.

Badan itu berperanan penting dalam membentuk dasar ekonomi, memberi nasihat kepada kerajaan serta mengetengahkan hala tuju strategik bagi pertumbuhan PKS Jerman.

Duta Besar Malaysia ke Jerman Datin Paduka Dr Adina Kamarudin berkata Malaysia adalah rakan dagang terbesar Jerman di ASEAN sejak beberapa tahun lepas, malah terus menjadi rakan dagang terbesar Malaysia di Kesatuan Eropah (EU).

“Pada 2023 misalnya, Jerman merupakan rakan dagang global ke-13 Malaysia, destinasi eksport ke-14 serta sumber import ke-11 terbesar," katanya.

Kedutaan Malaysia itu berkata nilai dagangan antara Malaysia dan Jerman berjumlah US$13.90 bilion (RM63.45 bilion).

Dalam pada itu, turut diketengahkan pada acara Hari Dplomatik PKS Jerman itu adalah sesi taklimat perdagangan dan pelaburan oleh pegawai Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dari pejabat di Frankfurt dan Munich.

Usaha itu memberi peluang bagi mempromosi Malaysia sebagai destinasi kondusif serta menarik bagi pelaburan asing membabitkan entiti perniagaan terkemuka Jerman. 

Penganjuran acara itu juga sebagai susulan ke atas lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jerman pada Mac lepas yang menyaksikan beliau menyampaikan ucap tama pada program SME Future Daya BVMW 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan