EKONOMI > BERITA

Kerajaan Dijangka Peruntuk RM403.7 Bilion Untuk Belanjawan 2025 - TA Securities

28/09/2024 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- TA Securities Holdings Bhd mengunjurkan kerajaan memperuntukan sebanyak RM403.7 bilion untuk Belanjawan 2025, masing-masing merangkumi RM305.7 bilion dan RM97.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menurut laporan firma penyelidikan itu, pertumbuhan hasil yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan akan membawa kepada defisit fiskal yang lebih rendah sebanyak RM76.4 bilion, atau 3.7 peratus pada 2025, berbanding unjuran 4.2 peratus pada 2024, dan berada di landasan untuk mencapai sasaran 3.5 peratus pada 2026.

"Ini akan disokong oleh pengembangan ekonomi, yang kami jangkakan berkembang lebih pantas pada lima peratus pada 2025.

"Ia akan didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, dan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan gaji dan pelaburan swasta," katanya.

TA Securities juga mengunjurkan hasil kerajaan akan meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM325.3 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM307.6 bilion pada 2024.

Kenaikan itu masing-masing disebabkan oleh kenaikan 4.2 peratus dan 11.7 peratus dalam cukai langsung dan tidak langsung, susulan ekonomi yang terus berkembang pada kadar lebih pantas, pengembangan perniagaan dan peningkatan pendapatan.

"Tiada cukai baharu dijangka pada tahun depan selain daripada cukai minimum global 15 peratus dan cukai barang bernilai tinggi yang ditangguhkan, selain menguatkuasakan pelaksanaan fasa demi fasa e-invois, yang akan memasuki peringkat akhir pada 2025 dan perluasan cukai jualan dan perkhidmatan. 

"Ini akan mengimbangi kemungkinan pembayaran dividen yang lebih rendah oleh Petronas disebabkan oleh hasil yang diketepikan daripada operasinya di Malaysia Timur,” katanya.

Sementara itu, TA Securities menjangkakan Belanjawan 2025 akan menyentuh berkaitan langkah-langkah utama dan bakal penerima manfaat dalam bidang tertentu seperti projek infrastruktur awam seperti Mass Rapid Transit (MRT3) dan kereta api berkelajuan tinggi (HSR), pembangunan saksama dan koridor pertumbuhan baharu seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ia akan memberi tumpuan kepada perbelanjaan ekonomi digital dan inisiatif pembangunan mampan yang berkaitan dengan peralihan tenaga dan tenaga boleh baharu. 

Firma penyelidikan itu juga berkata Strategi Semikonduktor Nasional, eksport bernilai tambah tinggi dan pelaburan yang berkaitan dengan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), awan dan 5G berkemungkinan turut disentuh dalam Belanjawan 2025.

“Selain itu, perkara lain, termasuk langkah untuk menurunkan kos sara hidup dan meningkatkan pendapatan boleh guna melalui kenaikan gaji kakitangan awam, kemungkinan pelarasan gaji minimum daripada RM1,500 kepada antara RM1,700 dan RM1,800 dan kenaikan pelepasan atau rebat cukai.

"Ini akan mengurangkan sebarang kesan negatif daripada kemungkinan cukai yang lebih tinggi ke atas barangan makanan bergula," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan