EKONOMI > BERITA

George Lee Lap Wah Dilantik Sebagai Pengerusi OCBC Bank, OCBC Al-Amin

01/10/2024 03:00 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) – OCBC Bank melantik George Lee Lap Wah sebagai Pengerusi OCBC Bank (Malaysia) Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd (OCBC Al-Amin) berkuat kuasa hari ini.

OCBC Bank dalam kenyataan hari ini berkata, Lee menggantikan Tan Ngiap Joo yang bersara daripada kedua-dua jawatan tersebut pada 30 Sept, 2024 selepas sembilan tahun berkhidmat.

Lee berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari University of Singapore dan menyertai Lembaga Pengarah OCBC Bank sejak 1 Sept, 2021.

Menurut kenyataan itu, beliau kini berkhidmat sebagai Pengarah Bebas di RE&S Holdings Ltd, Wearnes Starchase Ltd dan Great Eastern Holdings Ltd serta merupakan Ahli Jawatankuasa Disiplin SGX.

“Seorang pegawai bank berpengalaman dengan pengetahuan meluas mengenai pasaran Malaysia, beliau merupakan penasihat kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Jawatankuasa Pengurusan OCBC Bank dari April 2016 hingga Julai 2017.

"Beliau juga merupakan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Korporat Global di Oversea-Chinese Banking Corporation Ltd dari Februari 2012 hingga persaraannya pada April 2016,” kata kenyataan itu.

OCBC Bank berkata Lee memulakan kerjayanya sebagai pegawai kewangan di Jabatan Perbendaharaan Kumpulan Keppel Shipyard pada tahun 1978 dan menyertai Marine Midland Bank pada tahun 1982.

Seterusnya, beliau memegang jawatan pengurusan di pelbagai unit perbankan pelaburan yang berpusat di Singapura.

“Pada tahun 1989, beliau dilantik sebagai pengurus negara di Security Pacific Bank sebelum menyertai Credit Suisse Singapura sebagai ketua perbankan korporat untuk Asia Tenggara pada tahun 1993.

Menurut kenyataan itu, beliau meletakkan jawatan sebagai pengarah pinjaman korporat di Credit Suisse First Boston pada tahun 1998 untuk menyertai OCBC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan