EKONOMI > BERITA

Ketua Pegawai Operasi Dialog Mustaffa Kamal Dinaikkan Pangkat Kepada CEO

07/10/2024 08:40 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Dialog Group Bhd mengumumkan kenaikan pangkat Ketua Pegawai Operasinya Mustaffa Kamal Abu Bakar kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuat kuasa hari ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya pelantikan itu adalah selaras dengan strategi perniagaan kumpulan dan perancangan penggantian, memastikan daya tahan dan komitmen untuk mencipta nilai kemampanan kepada semua pihak berkepentingan.

Mustaffa Kamal, 60, membawa bersama pengalaman lebih 37 tahun dalam industri minyak, gas dan petrokimia.

Sebelum menyertai Dialog, beliau berkhidmat dengan Petronas Carigali Sdn Bhd selama lima tahun dan dengan syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) lain dalam perundingan reka bentuk, pembinaan dan fabrikasi, penyelenggaraan dan perkhidmatan khusus.

Mustaffa Kamal yang juga anggota majlis Persatuan Gas Malaysia menyertai Dialog pada 2001 sebagai Pengarah Pembangunan Perniagaan (Bahagian Perkhidmatan Loji) dan kemudiannya berkhidmat sebagai CEO Dialog E & C Sdn Bhd dan Dialog Plant Services Sdn Bhd.

Sementara itu, Dialog turut mengumumkan Pengarah Urusan bagi Minyak dan Gas Huluan, Keith Collins, menyandang tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi berkuat kuasa hari ini.

Warga Britain berusia 63 tahun itu berpengalaman lebih 41 tahun dalam industri O&G, dengan kepakaran luas dalam bidang pengurusan huluan, penggerudian, penyiapan dan aktiviti pembangunan lapangan di luar negara dan di Malaysia.

"Sebelum menyertai kumpulan itu, beliau adalah CEO Vestigo Petroleum, anak syarikat milik penuh Petronas Carigali untuk tempoh tujuh tahun," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan