EKONOMI > BERITA

Malaysia Diunjur Terbit Sukuk Lebih Tinggi Pada Separuh Kedua Tahun Ini - Moody's

09/10/2024 06:39 PM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Malaysia diunjur mencatatkan terbitan sukuk yang lebih tinggi pada separuh kedua tahun ini meskipun terbitan sukuk kedaulatan domestik yang rendah pada separuh pertama, kata Moody’s Ratings.

Penolong naib presidennya Abdulla AlHammadi berkata unjuran itu berdasarkan defisit fiskal negara, yang dijangka mencecah 4.4 peratus pada 2024 dan berkurangan kepada 3.8 peratus pada 2025.

“Kami menjangkakan terbitan datang dari Malaysia, mungkin pada separuh pertama 2024 kebanyakannya dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC), tetapi kami menjangkakan lebih banyak terbitan dari Malaysia pada separuh kedua,” katanya pada persidangan meja bulat secara maya mengenai perkembangan terkini Industri Kewangan Islam Global 2024.

Abdulla berkata dana kekayaan negara Malaysia, Khazanah National Bhd menerbitkan sukuk bernilai US$500 juta (US$1 = RM4.28) pada Ogos, menandakan momentum penerbitan sukuk bagi bank Islam.

“Malaysia dan Indonesia menjadi rantau kedua terbesar (menerbitkan sukuk) selepas GCC, menyumbang 40 peratus daripada pasaran sukuk global,” katanya. 

Di peringkat global, Abdulla berkata terbitan sukuk global pada 2024 dijangka mengatasi jumlah pada 2023, dipacu oleh aktiviti terbitan sukuk kedaulatan yang lebih kukuh dari negara GCC.

Bagaimanapun, beliau berkata terbitan sukuk global dijangka perlahan pada separuh kedua 2024 selepas mencatatkan prestasi kukuh sebanyak US$125 bilion pada separuh pertama tahun ini.

"Kami menjangkakan pertumbuhan agak perlahan pada separuh kedua berbanding separuh pertama, namun secara keseluruhannya ia merupakan tahun yang mencatatkan prestasi paling kukuh. 

“Kami menjangkakan angka terbitan sukuk antara US$200 bilion dan US$210 bilion,” katanya.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan