BERITA TERGEMPAR   Flood preparation: 459 PPS identified in Kelantan, capable of accommodating more than 100,000 victims - MB | 
 EKONOMI > BERITA

Tingkat Pelaburan Dalam AI, Pembangunan Kemahiran Dalam Belanjawan 2025 - Learning Edge

10/10/2024 12:12 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi yang dipacu kecerdasan buatan (AI), pembangunan kemahiran dan keterangkuman ekonomi yang lebih besar dalam Belanjawan 2025, kata Learning Edge, sebuah organisasi pembangunan bakat.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Perthpal Singh Khosa menekankan jika Malaysia kekal mahu berdaya saing dalam pasaran global yang berkembang pesat, keterangkuman ekonomi adalah penting bagi menyediakan rakyatnya tanpa mengira latar belakang atau umur,  akses kepada peluang dalam landskap digital baharu. 

"Ini perlu dibuat dengan merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar, menyediakan peluang yang saksama kepada pendidikan selain menyokong pembelajaran sepanjang hayat," katanya kepada Bernama.

Perthpal mencadangkan tumpuan khusus untuk pelaburan perlu dibuat ke atas pendidikan teknikal serta vokasional (TVET), pendidikan digital dan program kepimpinan yang berkaitan industri, dengan menyatakan bahawa peruntukan bajet secara strategik adalah kritikal dalam memperkukuhkan pembangunan modal insan, khususnya melalui inisiatif TVET.

Beliau bagaimanapun melahirkan kebimbangan bahawa beberapa inisiatif semasa tidak menghasilkan profesional mahir yang diperlukan untuk memacu negara ke hadapan.

“Perubahan yang akan kita saksikan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang akan lebih pantas dan lebih transformatif berbanding dekad sebelum ini. AI akan merevolusikan industri dan mereka yang tidak bersedia akan ketinggalan,” katanya.

Sebagai pendukung pembangunan bakat, Perthpal memberitahu sistem TVET yang dibiayai dengan baik, berkaitan industri adalah penting untuk melengkapkan individu dengan kemahiran khusus yang diperlukan bagi menjamin daya saing Malaysia dalam sektor pembuatan, logistik serta industri baru muncul seperti teknologi hijau.

“Pelaburan yang signifikan dalam pendidikan digital adalah penting untuk memastikan generasi akan datang memiliki kelancaran digital memandangkan automasi dan AI akan terus mentakrifkan semula industri.

“Kita juga perlu membiayai program pembangunan kepimpinan di semua peringkat disebabkan pemimpin yang efektif akan memberi inspirasi kepada pasukan mereka untuk memacu produktiviti. Insentif pembelajaran sepanjang hayat juga adalah penting, ia memudahkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan berterusan melalui geran, subsidi atau skim yang disokong majikan,” katanya.

Perthpal juga menekankan kepentingan pelaburan yang besar dalam infrastruktur digital untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan termasuk mengintegrasikan AI dan automasi ke dalam operasi.

Beliau menyokong kerjasama yang lebih kukuh antara sektor awam dan swasta, menggesa penglibatan pakar industri dalam penggubalan dasar bagi memastikan pelaburan berkesan dalam latihan kemahiran dan pembangunan AI.

“Belanjawan ini dijangka mampu mendorong syarikat berkaitan kerajaan untuk diselaraskan dengan matlamat negara secara lebih rapat terutamanya dalam pembangunan kemahiran,” katanya lagi.

Menurut Perthpal, walaupun tambahan angka pembiayaan dalam bidang tertentu adalah penting untuk pembangunan bakat, pihak berkepentingan dalam pembangunan sumber manusia telah meminta ketelusan yang lebih besar mengenai kaedah agihan penyaluran kewangan termasuk kawalan kualiti yang lebih baik dalam program latihan yang dibiayai oleh Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia.

“Kita mesti memastikan bahawa program yang dilaburkan memberikan hasil. Beberapa inisiatif latihan sekarang ini, dilihat gagal melahirkan profesional berkemahiran yang kita harapkan,” tambahnya.

Belanjawan 2025 akan dibentangkan di Parlimen menjelang 18 Okt 2024.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan