EKONOMI > BERITA

Pelabur Malaysia Perlu Rebut Peluang Di Laos - MBCL

12/10/2024 11:15 AM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 12 Okt (Bernama) -- Pelabur Malaysia perlu merebut peluang pelaburan di Laos berikutan negara yang juga dikenali sebagai ‘Tanah Sejuta Gajah’ itu mempunyai potensi yang besar dalam sektor tenaga hidro, semikonduktor, pengangkutan, elektronik, logistik dan pasaran halal.

Presiden Malaysia Business Chamber Laos (MBCL) Tee Chee Seng menggesa syarikat Malaysia untuk meninjau potensi yang luas dan berkembang pesat di negara ini.

“Mereka boleh menceburi banyak sektor pelaburan terutamanya di Zon Ekonomi Khas Segi Tiga Emas yang terletak di sepanjang Sungai Mekong,” katanya, sambil menambah Malaysia kini merupakan rakan dagang keempat terbesar Laos.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia di ibu negara Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Tee berkata sepanjang 16 tahun berada di sini, Laos, pengerusi ASEAN pada 2024, telah melaksanakan perubahan yang ketara, terutamanya dalam infrastruktur.

Ia kini mempunyai rangkaian pengangkutan darat dan udara yang lebih kukuh.

“Terdapat penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Vientiane manakala rangkaian kereta api dari Malaysia membuka lebih banyak peluang import dan eksport ke China dan Eropah,” katanya.

Tee menjelaskan perkhidmatan kereta api kargo yang baru dilancarkan dan menghubungkan Malaysia, Thailand, Laos dan China dijangka membuka pasaran baharu dengan kos lebih rendah di rantau ini.

Beliau berkata ASEAN Express yang pertama telah berlepas dari depoh Kelana Jaya di Selangor pada 27 Jun 2024.

“Kami berbangga mempunyai kereta api milik Malaysia di Laos, usaha oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan rasmi beliau ke Laos pada 2023.

“Dalam lawatan itu, kita telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KTMB dan Laos Railway. 

“Oleh itu, terdapat peluang untuk rakyat Malaysia dan Laos menjalankan perniagaan kerana kita telah menyelesaikan masalah logistik,” katanya.

Mengenai sektor halal, Tee berkata dewan perniagaan itu menjalin kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Vientiane untuk mendapatkan pensijilan halal daripada JAKIM bagi produk pertanian Laos agar dapat memasuki pasaran yang luas di Malaysia dan China.

Beliau berharap mesyuarat ASEAN di ibu negara Laos pada minggu ini akan menjadi platform kepada dewan perniagaan itu untuk menarik lebih ramai pelabur ke Laos.

“Melalui Laos, kita dapat menembusi pasaran yang luas, sehingga ke China dan Eropah. Oleh itu, ia merupakan peluang yang baik untuk pelabur Malaysia datang dan menjalankan perniagaan di sini,” katanya.

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN secara rasmi memulakan sidang kemuncak pada 8 Oktober manakala majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung pada 9 Oktober.

Anwar dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sidang kemuncak itu.

Pada 11 Oktober, Laos secara rasmi akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia. 

Selain menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2024, Laos sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 2004 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan