EKONOMI > BERITA

Anwar Akan Teraju ASEAN Harungi Cabaran Kritikal Serantau, Global Pada 2025

12/10/2024 02:14 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail & Kenny Teng Khoon Hock & Rosmalis Anuar

VIENTIANE, 12 Okt  (Bernama) - Sidang kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang baru sahaja menutup tirainya merupakan penampilan berjaya bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa negara anggota agar bukan sahaja meningkatkan kemakmuran menerusi inisiatif baharu tetapi juga agar pihak-pihak berkonflik meneruskan diplomasi untuk mencapai keamanan di rantau ini.

Daripada pertikaian wilayah dan maritim di rantau ini kepada serangan kejam Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza hinggalah kepada perang berterusan antara Rusia dan Ukraine yang telah meragut ribuan  nyawa, Perdana Menteri lantang mendesak bahkan kuasa besar agar menggesa sekutu mereka yang berperang untuk kembali ke meja rundingan.

Menerusi mesej jelas Anwar kepada rakan-rakan pemimpin ASEAN dan rakan dialog rantau ini, beliau menekankan tentang betapa pentingnya keamanan serta mengutamakan rakyat dan menjaga keselamatan mereka.  

Antara pencapaian paling penting adalah apabila ASEAN berjaya 'memujuk' China bersetuju untuk mengelakkan pertikaian di Laut China Selatan dan menggunakan saluran diplomatik untuk menyelesaikan isu tentang perairan yang dipertikaikan itu.

Pendedahan Anwar mengenai jaminan Perdana Menteri China Li Qiang bahawa perkara itu akan ditangani secara damai sudah pastinya memberikan kelegaan besar kepada pihak-pihak yang menuntut termasuk Filipina yang terlibat dalam beberapa insiden sepanjang tahun ini.

Ini sudah tentunya merupakan berita baik bagi Malaysia, yang kini sebagai pengerusi ASEAN, boleh berusaha mengemudi negara anggota dan rakan dialog yang terlibat dalam konflik untuk mencapai penyelesaian yang aman.

Anwar bijak mengatur persediaan bagi sidang kemuncak serantau penting yang akan beliau hoskan di Kuala Lumpur, serta keperluan untuk mengemudi blok yang terdiri daripada 10 anggota itu mengharungi cabaran kritikal serantau dan global termasuk perang saudara di Myanmar.

Nampaknya ada sedikit sinar harapan, kerana setelah tiga tahun berlalu, Yangon akhirnya menghantar wakil ke sidang kemuncak ASEAN di Laos. Diharapkan apabila Malaysia mempengerusikan mesyuarat ini pada tahun depan, ketua negara Myanmar sendiri akan hadir ke pertemuan tersebut.

Satu lagi kemungkinan pencapaian Anwar adalah penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN, yang kelaknya akan menambah keanggotaan perkumpulan serantau kepada 11 anggota.

Susulan perbincangan beliau dengan rakan sejawatannya Xanana Gusmao, Anwar melahirkan keyakinan bahawa keahlian penuh negara tersebut itu akan meningkatkan potensi ekonomi rantau ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah dipertanggungjawabkan untuk membantu Dili (ibu kota Timor Leste) menyelesaikan halangan yang kebanyakannya berkaitan dengan peraturan ekonomi dan mempercepatkan keanggotaannya. 

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri menghadiri beberapa mesyuarat termasuk Sidang Kemuncak Plus One antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog, iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Plus Three, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

 

 

ANWAR BERTEGAS ASEAN PERLU BERSATU

 

Sepanjang persidangan itu, Anwar berulang kali menekankan betapa pentingnya perpaduan dan sikap berkecuali dalam ASEAN untuk mengekalkan keamanan serantau yang tidak boleh dipandang remeh.

Semasa sesi intervensi beliau pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 pada hari Rabu, Perdana Menteri menggesa negara anggota ASEAN untuk menolak tawaran yang cenderung menyebabkan perpecahan di rantau ini.

Oleh itu penting bagi ASEAN untuk tegas memberitahu dunia bahawa rantau ini mesti dan kekal bersatu dan terus menjadi pemacu utama keamanan, keselamatan dan kerjasama serantau.

“Ketika ketegangan global terus meningkat dan polarisasi nampaknya membayangi integrasi, keretakan dan perpecahan dalam ASEAN berisiko dieksploitasikan sehingga boleh menjejaskan perpaduan ASEAN,” kata beliau.

Bagi menggalakkan rakan dialog ASEAN menangani perbezaan mereka untuk mencapai hasil yang positif, Anwar menggesa negara anggota tidak terlalu menekankan kepada kepentingan dialog dan kerjasama.

Semasa Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19, Anwar menekankan kepentingan untuk menegakkan prinsip kebebasan ASEAN sambil mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah dan juga mengukuhkan hubungan dengan China.

“Pada masa yang sama, kita mengekalkan hubungan dengan Rusia, yang mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah negara Barat, tetapi saya tegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang bebas dan berdaulat, kita mempunyai hak untuk menjalin hubungan dengan semua orang,” kata beliau.

Pada asasnya, mesej jelas beliau itu adalah agar persengketaan antara AS dan Rusia serta perang perdagangan antara Washington dan Beijing tidak mempengaruhi dasar neutral ASEAN.

EAS melibatkan 18 negara, termasuk 10 negara ASEAN, Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Rusia, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

Ia mungkin hanya satu harapan tetapi diharapkan, Presiden baharu Amerika Syarikat dan pemimpin Rusia Vladimir Putin sekurang-kurangnya dapat menangani perbezaan negara mereka masing-masing apabila Kuala Lumpur menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN tahun depan.

 

PENERIMAAN POSITIF DARI MYANMAR

 

Selama ini anggota ASEAN dan rakan dialognya telah mengadakan perbincangan yang meluas mengenai krisis di Myanmar. Berita baiknya adalah Yangon telah mula membuka pintu kepada rundingan, dengan Malaysia mendahului usaha mencari penyelesaian yang aman dan berkekalan bagi perang saudara di negara tersebut.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan akan menyelaraskan rundingan dan meningkatkan libat urus dengan pihak berkepentingan yang berkaitan di Myanmar.

Selain itu, masyarakat antarabangsa juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dan bukan hanya sekadar retorik semata-mata dalam menyokong inisiatif ASEAN bagi Myanmar.

Apa yang dimahukan ASEAN adalah rantau yang bebas daripada konflik, terutamanya yang berpunca daripada persaingan kuasa besar.

Kira-kira 4,000 orang telah terkorban, dan hampir sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak kerajaan Myanmar digulingkan secara tiba-tiba menerusi rampasan kuasa tentera pada Februari 2021. Malaysia kini menerima kira-kira 200,000 pelarian Myanmar.

 

PENINGKATAN KETEGANGAN DI LAUT CHINA SELATAN, KEBIMBANGAN MEREDA

 

Peningkatan ketegangan di Laut China Selatan juga menjadi tumpuan terutamanya semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-27 yang dihadiri Perdana Menteri China Li Qiang.

Anwar berkata Beijing memberi jaminan perkara itu akan ditangani secara damai selaras dengan semangat Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) 1982.

Persetujuan yang dicapai perkumpulan serantau itu dan China untuk menggunakan saluran diplomatik dan rundingan berhubung pertikaian tersebut sudah pasti merupakan satu kemenangan diplomatik.

 

ANWAR GESA SERANGAN ISRAEL KE ATAS GAZA DAN LEBANON DIHENTIKAN

 

Malaysia terus tegas dalam pendiriannya mengutuk kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin dan menuntut keadilan untuk rakyat Palestin di platform antarabangsa termasuk sidang kemuncak ASEAN di sini.

Semasa pertemuan beliau dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken Anwar juga membangkitkan tentang perkara tersebut dan menuntut agar kekejaman itu dihentikan untuk menyelamatkan nyawa yang tidak bersalah.

Sementara itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-14, Anwar menegaskan bahawa tiada pengecualian seharusnya diberikan bagi sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa terhadap mana-mana negara.

Namun, seperti yang beliau sampaikan, pelanggaran tersebut sedang berlaku tanpa hukuman, yang mana merupakan satu keadaan yang menyedihkan.

 

 

ASEAN MAHU JADI BLOK EKONOMI KEEMPAT TERBESAR

 

ASEAN berada pada trajektori positif untuk menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030 daripada tempat kelima ketika ini dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) blok itu melonjak 51 peratus kepada US$3.8 trilion pada 2023 berbanding US$2.5 trilion pada 2015.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan Malaysia telah menggariskan beberapa strategi utama bagi perkumpulan serantau itu.

Antaranya termasuklah mengukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama kawal selia, yang merupakan satu keperluan praktikal memandangkan pengalaman buruk semasa pandemik COVID-19 apabila eksport, import dan bekalan makanan penting terputus.  

Selain itu, penting juga untuk mengembangkan hubungan perdagangan dan pelaburan dan merangsang transformasi digital di rantau ini.

Tidak kurang pentingnya juga adalah untuk mengukuhkan asas negara anggota dan mencipta semula serta menyusun semula ekonomi mereka sambil memanfaatkan kekuatan masing-masing.

Kumpulan itu perlu menambah baik dan menjamin rantaian bekalan serantau serta hubungannya dengan ekonomi global.

Matlamat paling utama adalah untuk ASEAN mencapai daya tahan ekonomi dan berada di landasan menjadi blok ekonomi keempat terbesar menjelang 2030.

Anwar menggesa negara anggota ASEAN dan rakyatnya agar mencapai integrasi ekonomi yang lebih kukuh kerana meskipun gembar-gembur pertumbuhan fenomena rantau ini sejak beberapa dekad lepas, beliau menegaskan bahawa "perdagangan sesama ASEAN masih lagi rendah."

Justeru, kata beliau, negara anggota perlu memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang akan dimeterai pada 2025. 

Selain itu, ASEAN juga perlu meneroka dan meluaskan perkongsian ekonomi perkumpulan melangkaui sempadan rantau ini. 

Oleh itu, cadangan Sidang Kemuncak ASEANGCC + China pada 2025 oleh Malaysia yang bertujuan mengembangkan perkongsian ekonomi perkumpulan dengan negara-negara Teluk adalah satu langkah yang wajar. 

 

TAHUN YANG SIBUK DAN MENCABAR BAGI MALAYSIA PADA 2025

 

Perhimpunan serantau tahun depan akan menyaksikan dialog yang lebih meluas kerana pemimpin dari negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu bakal menyertai Sidang Kemuncak GCC ASEAN + China. 

Malaysia yang telah memegang jawatan Pengerusi ASEAN sebanyak empat kali pada 1977, 1997, 2005, dan 2015, bersedia untuk sekali lagi membawa yang besar pada tahun depan dalam suasana cabaran baharu.

Selaras dengan konsep keterangkuman MADANI, Perdana Menteri berikrar untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan negara anggota ASEAN, meningkatkan kolaborasi dan kerjasama di rantau ini.

Walaupun ia bukan satu tugas yang mudah namun Malaysia di bawah kepimpinan Anwar bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi pada 2025 dan mengemudi ASEAN untuk mencapai bukan sahaja pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat tetapi juga memastikan rantau yang lebih aman pada masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan