EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025: Persatuan Jualan Langsung Gesa Kerajaan Ketatkan Peraturan e-Dagang

14/10/2024 04:59 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) menggesa kerajaan memperuntukkan dana bagi mengetatkan peraturan, meningkatkan penguatkuasaan dan mendidik secara berterusan amalan beretika e-dagang dalam Belanjawan 2025.

DSAM yang mewakili lebih empat juta usahawan ditubuh bagi mewujudkan dan mengekalkan persekitaran yang kondusif kepada pertumbuhan serta kestabilan industri jualan langsung di Malaysia.

Presidennya Mohamad Zaihan Mohamed Ariffin berkata melaksanakan undang-undang yang betul dan mengetatkan peraturan untuk platform e-dagang boleh menyokong pertumbuhan usahawan tulen, meningkatkan pendapatan mereka dan menyumbang secara positif kepada ekonomi.

“Walaupun kami mengakui potensi platform e-dagang menawarkan peluang perniagaan yang berharga, mengetatkan undang-undang dan peraturan pada platform e-dagang bagaimanapun amat diperlukan.

"Terdapat ruang untuk mengetatkan undang-undang bagi memasukkan penjualan semula yang menyalahi undang-undang produk tulen dan bertanda dagangan, produk tiruan, tidak berdaftar atau diubah,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Beliau berkata penjualan produk jualan langsung yang menyalahi undang-undang menjejaskan usahawan yang membayar cukai sendiri serta bekerja sendiri seperti yang ada dalam industri jualan langsung.

“Kami berharap Belanjawan 2025 mengutamakan inisiatif untuk menyokong usahawan tulen dalam mengembangkan perniagaan mereka secara beretika dan adil,” katanya.

Mohamad Zaihan juga berharap kerajaan memberikan pelepasan cukai untuk pembelian suplemen, produk kesihatan dan kesejahteraan, sama seperti peruntukan semasa bagi peralatan sukan.

Beliau berpendapat inisiatif ini boleh menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan mereka.

“Selain menawarkan rebat cukai ke atas pembelian produk tulen serta berdaftar tempatan daripada syarikat yang patuh, kerajaan juga boleh memberi insentif kepada rakyat bagi membuat pilihan lebih sihat yang secara tidak langsung meningkatkan kutipan cukai daripada perniagaan tempatan.

"Pendekatan ini akan menggalakkan penjagaan kesihatan untuk pencegahan, mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan serta menyumbang kepada populasi yang lebih produktif dan berdaya tahan,” katanya.

Belanjawan 2025 dijadual untuk dibentang di Parlimen pada Jumaat, 18 Okt, 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan