EKONOMI > BERITA

Projek Infrastruktur Dominasi Sektor Pembinaan Malaysia - RHB IB

16/10/2024 01:34 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Projek-projek infrastruktur yang baharu akan menguasai industri pembinaan Malaysia pada bulan-bulan akan datang kerana pemberian kontrak bagi awal tahun sehingga kini (YTD) daripada kerajaan telah melebihi tahun lepas, kata RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Dalam nota penyelidikannya hari ini, ia berkata projek kerajaan yang dianugerahkan bagi sembilan bulan pertama 2024 berjumlah RM41 bilion, melebihi daripada RM36.7 bilion pada 2023.

Ia berkata projek yang dilancarkan dengan baik termasuk Transit Aliran Ringan Pulau Pinang dan Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B yang menelan kos RM15 bilion, dengan dua pakej terakhir masih belum dianugerahkan.

RHB IB juga percaya projek infrastruktur berkaitan air mungkin membawa peluang tambahan kepada kontraktor seperti projek tebatan banjir Sungai Damansara dan peruntukan RM4 bilion untuk pengurusan air di Perak, termasuk menyediakan air terawat ke Pulau Pinang.

Sementara itu, nilai kontrak yang diberikan kepada subsektor bukan kediaman (terdiri daripada bangunan komersial, kilang, gudang dan pusat data) berjumlah RM109 bilion untuk sembilan bulan 2024, melebihi dari setahun penuh 2023 sebanyak RM83.5 bilion.

“Kitaran pelaburan pusat data masih diteruskan dengan pusat data baharu yang dirancang di Delapan, Kedah,” katanya.

Secara keseluruhannya, bank pelaburan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pembinaan dan kejuruteraan.

Pada masa yang sama, ia berkata walaupun Indeks Pembinaan Bursa Malaysia (BMCI) meningkat sebanyak 30 peratus bagi YTD, sektor itu masih belum matang untuk pengambilan untung.

Ia berkata sektor itu menjangkakan perkembangan berita yang lebih konsisten, termasuk projek-projek infrastruktur air dan peluang-peluang perindustrian yang akan muncul ketika ini sehinggalah separuh pertama 2025.

“Ini termasuklah penilaian maklum balas mengenai penjajaran Transit Aliran Massa 3 (MRT3) selepas pemeriksaan awam dan keputusan kerajaan mengenai kebolehlaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura menjelang akhir 2024,” tambahnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan