EKONOMI > BERITA

BuildXpo 2024 Bekerjasama Dengan Gamuda Pamer Pembinaan Mampan

17/10/2024 03:07 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd (QUBE) menamakan Gamuda Bhd sebagai Penaja Platinum untuk Pameran Industri Bangunan dan Pembinaan Antarabangsa Malaysia 2024 (BuildXpo 2024) yang berlangsung dari 22 hingga 24 Okt, 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

QUBE dalam satu kenyataan berkata Gamuda akan mempamerkan kepakaran serantaunya dalam transformasi digital, tenaga boleh baharu dan teknologi pembinaan hijau.

“Kerjasama ini selari dengan tumpuan program iaitu penyelesaian berorientasikan masa depan dan pembangunan mampan dalam sektor tersebut,” kata QUBE.

BuildXpo 2024 bertujuan memupuk inovasi dan kemajuan teknologi dengan lebih 500 gerai dan 200 pempamer yang dijangka menarik lebih 15,000 pelawat perdagangan.

Dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan diuruskan oleh QUBE, program itu disokong Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).

Di bawah tema 'Membayangkan Masa Depan Pembinaan', BuildXpo 2024 akan menonjolkan segmen industri utama termasuk teknologi pembinaan, bahan, peralatan, mesin, sistem dan perkhidmatan.

"Pameran itu akan memaparkan teknologi yang membentuk semula industri termasuk kemajuan dalam percetakan tiga dimensi, robotik, sistem bangunan pintar dan sistem bangunan perindustrian," katanya.

Dalam kenyataan yang sama, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menekankan kepentingan BuildXpo 2024 sebagai platform kalangan profesional industri meneroka penyelesaian bagi memacu sektor pembinaan supaya bergerak ke hadapan.

“Ia sejajar dengan tumpuan kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur dan pembangunan mampan, di samping menonjolkan pelbagai peluang kerjaya yang tersedia untuk golongan muda dalam pembinaan,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif QUBE Richard Teo berkata program tersebut lebih daripada sekadar pameran perdagangan tradisional selain menawarkan pengalaman langsung dengan teknologi pembinaan termaju.

“Daripada demonstrasi realiti maya sistem bangunan pintar kepada pameran langsung percetakan tiga dimensi dalam pembinaan, BuildXpo akan memberikan pandangan tentang masa depan industri kami.

“Kerjasama dengan Gamuda Berhad secara signifikan meningkatkan kemampuan kami untuk mempersembahkan amalan pembinaan mampan yang maju,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamuda Engineering Justin Chin Jing Ho berkata penyertaan mereka mencerminkan dedikasi Gamuda terhadap pembinaan dan inovasi yang mampan.

“Menyelaraskan objektif BuildXpo, kami berharap dapat melibatkan diri dengan rakan industri untuk berkongsi kepakaran serantau dan menyokong tumpuan kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur, kemahiran kumpulan bakat tempatan dan mengukuhkan rantaian bekalan,” katanya.

Pameran ini juga akan merangkumi 'Hab Inovasi' yang memaparkan syarikat pemula niaga dan teknologi terkini yang dijangka mempengaruhi landskap pembinaan.

Hab ini akan menawarkan platform bagi usahawan muda dan inovator untuk mempamerkan idea mereka selain berhubung dengan pemain industri yang mampan.

BuildXpo 2024 turut menampilkan siri seminar teknikal dan demonstrasi produk yang menawarkan pandangan tentang aliran terkini dalam industri serta aplikasi teknologi baharu merangkumi topik seperti bahan pembinaan mampan, kecerdasan buatan dalam pengurusan pembinaan dan integrasi internet pelbagai benda (IoT) dalam sistem bangunan.

Untuk maklumat lanjut mengenai peserta pameran, Hab Inovasi dan jadual seminar teknikal, sila lawati laman sesawang rasmi BuildXpo Malaysia.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini adalah advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab ke atas kandungan, ketepatan dan pendapat yang dibawa dalam artikel tersebut.

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan