EKONOMI > BERITA

Belanjawan 2025 Beri Suntikan Positif, Perkukuh Kedudukan Malaysia Di Mata Dunia

18/10/2024 11:30 PM

PUTRAJAYA, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 akan memperkasa Kementerian Luar dalam memperkukuh kepentingan dan meluaskan pengaruh Malaysia ke platform antarabangsa sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.

Kementerian Luar dalam menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata ia akan akan memastikan usaha memperkukuh dan mempertahankan kepentingan strategik negara dalam pelbagai isu sejagat diteruskan.

“Wisma Putra (Kementerian Luar) terus komited dalam memperkukuh kepentingan serta memperluas peranan Malaysia melalui diplomasi dua hala dan pelbagai hala di peringkat antarabangsa.

“Ini termasuk isu berkaitan keamanan serantau, pembangunan mampan, isu Laut China Selatan, konflik Palestin-Israel, keterjaminan makanan dan perubahan iklim,” katanya dalam satu kenyataan malam ini. 

Kementerian Luar diperuntukan RM1.76 bilion bagi 2025, di bawah bawah Belanjawan 2025 berbanding dengan RM1.126 bilion yang diperuntukkan untuk tahun ini.

Menurut Kementerian Luar, kepengerusian ASEAN yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Malaysia ke arah memastikan kestabilan, keselamatan dan kesejahteraan rantau ini terpelihara, mempromosi perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi rakyat.

“Sehubungan ini, Wisma Putra akan memastikan peruntukan sebanyak RM560 juta yang diberikan bagi Kepengerusian ASEAN 2025 akan digunakan sebaiknya dalam mengemudi hala tuju ASEAN dan mengetengahkan kepimpinan Malaysia agar Komuniti ASEAN tetap kekal utuh, inklusif, mampan, serta berkembang maju walaupun berdepan dengan cabaran-cabaran serantau dan global,” menurut kenyataaan itu.

Katanya, Belanjawan 2025 memberi suntikan positif kepada Kementerian Luar untuk mempertingkatkan perkhidmatan berteraskan rakyat secara telus, pantas dan berkesan, selain memperkasa modal insan warga  kementerian. 

Ini termasuk meningkatkan keupayaan bantuan konsular merangkumi penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia dan pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara.

“Kementerian ini menyokong Belanjawan 2025 yang merupakan cerminan kepada usaha berterusan Kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara dan merancakkan semula ekonomi Malaysia untuk menjadi ekonomi utama Asia.

“Wisma Putra yakin bahawa Belanjawan 2025 ini akan memangkin reformasi ekonomi Malaysia dan seterusnya mengukuhkan kedudukan Malaysia dan mengangkat martabat Malaysia di mata dunia,” katanya. 

Belanjawan 2025 yang merupakan belanjawan tertinggi dalam sejarah negara, memberi penekanan kepada merancakkan ekonomi, menguasai aspek inovasi selain memastikan pengagihan kekayaan lebih adil dan saksama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan