EKONOMI > BERITA

Maxis, Ambank Tingkat Kerjasama Pacu Transformasi Digital Dalam Penjagaan Kesihatan

28/10/2024 02:14 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Maxis memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kumpulan AmBank (Ambank) bagi memacu transformasi digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia.

Menurut kenyataan bersama Maxis dan Ambank, kerjasama itu dirasmikan menerusi pengumuman perkongsian yang diadakan pada Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 baru-baru ini. Maxis diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Goh Seow Eng manakala Kumpulan AmBank diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Jamie Ling.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

"Kerjasama berkenaan akan memacu penggunaan penyelesaian canggih yang dikuasakan oleh ketersambungan merentasi ekosistem penjagaan kesihatan, menggabungkan keupayaan digital Maxis yang meluas dengan penyelesaian kewangan komprehensif AmBank," menurut kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan kebolehcapaian kepada perkhidmatan dan infrastruktur perubatan merentasi ekosistem penjagaan kesihatan dengan membolehkan penggunaan ketersambungan dan penyelesaian digital.

"AmBank akan bekerjasama rapat dengan Maxis untuk menjadikan pembiayaan lebih mudah bagi penyelesaian penjagaan kesihatan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kerjasama berkenaan juga akan meneroka potensi penggunaan penyelesaian penjagaan kesihatan generasi akan datang untuk menyokong penyampaian perkhidmatan kritikal dan keperluan pengalaman.

Antaranya aplikasi inovatif seperti keupayaan perundingan jarak jauh, robotik, kecerdasan buatan (AI) dan penyelesaian realiti tambahan / realiti maya (AR/VR) dan penghantaran bekalan perubatan autonomi.

Kenyataan itu turut menyebut AmBank dan Maxis berkongsi komitmen berterusan untuk memacu inovasi digital dalam kalangan perniagaan.

Sebelum ini, kedua-dua pihak telah bekerjasama untuk memangkin transformasi runcit dan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menjana pendapatan menerusi pendigitalan.

Sementara itu, Goh berkata Maxis dan AmBank berhasrat untuk mempercepat penggunaan digital dalam sektor penjagaan kesihatan Malaysia bagi manfaat penyedia dan pesakit mereka.

“Ini berdasarkan inisiatif berterusan kami dalam mempromosikan penyelesaian digital untuk masa hadapan bagi perniagaan yang disokong sambungan 5G dan 5G-Advanced termasuk teknologi internet kebendaan (IoT).

“Melalui kerjasama ini, kami akan dapat memanfaatkan teknologi terbaik untuk memajukan Penjagaan Kesihatan Pintar demi negara, sejajar dengan matlamat kami untuk menghubungkan orang ramai dan perniagaan kepada pelbagai peluang dan potensi,” katanya.

Jamie dalam kenyataan sama berkata kerjasama kumpulan perkhidmatan kewangan terkemuka itu dengan Maxis diteruskan dengan satu lagi kerjasama dalam sektor penjagaan kesihatan.

“Dengan menggabungkan kepakaran AmBank dalam penyelesaian kewangan dengan kepakaran digital termaju Maxis, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada peningkatan kebolehcapaian penjagaan kesihatan, bekerjasama dengan rakan kongsi yang akan membawa penyelesaian penjagaan kesihatan baharu dan dipertingkatkan kepada industri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan