EKONOMI > BERITA

SME Bank Sasar Pembiayaan Lestari RM10 Bilion, Pembiayaan Hijau RM1 Bilion Menjelang 2030

29/10/2024 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyasarkan pembiayaan lestari sebanyak RM10 bilion dan pembiayaan hijau RM1 bilion menjelang 2030 melalui Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0. 

Pemangku Presiden Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 itu adalah pelan tujuh tahun bertujuan menangani risiko berkaitan iklim, sejajar matlamat kemampanan strategik jangka panjang SME Bank.

“Pelan itu akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif terutamanya Dana Kelestarian RM100 juta yang diperuntukkan kepada SME Bank menerusi Belanjawan 2025,” katanya pada majlis pelancaran pelan tersebut, di sini, hari ini, yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan.

Pelan tersebut dirangka susulan kejayaan Pelan Hala Tuju Kelestarian 1.0 yang dilaksanakan dari tahun 2021-2023 dengan sebanyak RM5.89 bilion pembiayaan lestari diluluskan merentasi pelbagai segmen afirmatif utama yang menyumbang kira-kira 95 peratus atau RM6.17 bilion daripada jumlah kelulusan Bank untuk tempoh 2022-2023. 

Sementara itu Ramanan berkata pelancaran pelan tersebut yang menyasarkan operasi neutral karbon menjelang 2030 adalah satu langkah kehadapan dalam memperkukuh peranan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap agenda pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

“Usaha itu juga mengukuhkan kedudukan kita dalam kalangan negara-negara ASEAN sebagai peneraju dalam pembiayaan lestari dan pembiayaan hijau,” katanya.

SME Bank dalam satu kenyataan berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 menetapkan laluan yang jelas untuk perjalanan lestari bank tersebut yang berpaksikan kepada tiga fasa.

Menurut bank itu, fasa pertama akan memberi tumpuan kepada penyesuaian terhadap keperluan kawal selia manakala fasa kedua akan menerajui penyepaduan amalan kelestarian ke dalam operasi SME Bank.

Fasa tiga pula akan menyaksikan kemajuan dan peningkatan inisiatif kelestarian untuk impak dan kecekapan maksimum. 

“Hal itu akan menyokong matlamat SME Bank untuk mencapai operasi neutral karbon menjelang 2030, bertujuan mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan penggunaan elektrik secara beransur-ansur sepanjang tujuh tahun,” katanya.

Bank itu berkata Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 akan memberi tumpuan kepada tujuh sasaran dikaitkan dengan tiga tonggak kelestarian dan empat matlamat jangka panjang, memastikan pengawasan berterusan dalam menangani risiko berkaitan iklim.

Pelan tersebut juga sejajar dengan Dokumen Dasar Pengurusan Risiko Iklim dan Analisis Senario (CRMSA) Bank Negara Malaysia (BNM), katanya

Selain itu, SME Bank turut menawarkan inisiatif seperti pembiayaan hijau untuk pelanggan yang layak iaitu Kemudahan Peralihan Karbon Rendah (LCTF) dan Kemudahan Teknologi Tinggi dan Hijau (HTG) yang sumber dananya adalah daripada BNM.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan