EKONOMI > BERITA

STRATEGI PELABURAN MALAYSIA DIGITAL TARIK PELABURAN RM224.72 BILION - GOBIND

16/12/2024 06:31 PM

KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Strategi Pelaburan Malaysia Digital (sebelum ini dikenali sebagai Strategi Pelaburan Digital Masa Depan5), inisiatif lima tahun (2021-2025) yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berjaya menarik pelaburan sebanyak RM224.72 bilion setakat suku ketiga 2024.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, sejak 2021 hingga suku ketiga 2024, ia juga telah mencipta 95,879 peluang pekerjaan digital baharu

Menurutnya pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan bagi syarikat teknologi digital.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol  ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini berkenaan pencapaian Kementerian Digital melalui inisiatif untuk mewujudkan 50,000 pekerjaan bernilai tinggi melalui  DIF5 serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakannya.

Gobind berkata kementerian menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan beberapa program untuk mendepani cabaran digitalisasi.

Katanya setakat November lepas, program MD Workforce Directory mempunyai 219 kursus dan pensijilan dengan permintaan tinggi dalam pasaran yang dirangka khusus dan diiktiraf oleh pakar industri digital seperti kecerdasan buatan (AI), data sains, keselamatan siber, animasi dan pengkomputeran awan.

"Sebanyak 4,644 peserta telah menyertai inisiatif MD Workforce Training setakat November lepas, untuk memberikan galakan kepada tenaga kerja tempatan dalam mempertingkat kemahiran serta memberi latihan semula dalam kursus atau pensijilan berkaitan teknologi seperti AI, penyimpanan awan, data sains dan animasi.

"Sebanyak 2,481 peserta menyertai program MD Workforce Place & Train sehingga November lepas, untuk memperkasakan penganggur dengan kemahiran digital canggih seperti pemasaran digital, keselamatan siber, aspek berkaitan pusat data dan sebagainya melalui kerjasama dengan rakan industri terpilih," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata kerajaan telah meluluskan sejumlah RM1.1 trilion pelaburan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh 2020 hingga 2023.

Menurutnya ini melibatkan 18,945 projek dan dijangka mewujudkan 487,648 peluang pekerjaan baharu. 

Beliau berkata, daripada jumlah pelaburan yang diluluskan, pelaburan asing menyumbang RM624.6 bilion atau 58.1 peratus manakala pelaburan domestik sebanyak RM449.5 bilion (41.9 peratus). 

"Lima negeri utama yang berjaya menarik pelaburan tertinggi dalam tempoh 2020 hingga 2023 adalah Pulau Pinang sebanyak RM187.8 bilion atau 17.5 peratus; Selangor (RM183.7 bilion atau 17.1 peratus); Kuala Lumpur (RM138.1 bilion atau 12.9 peratus); Johor (RM137.9 bilion atau 12.8 peratus) dan Kedah (RM115.2 bilion atau 10.7 peratus).

"Jumlah ini adalah 71 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan bagi tempoh tersebut," katanya pada sesi soal jawab.

Liew menjawab soalan Senator Manolan Mohamad berkenaan jumlah pelaburan asing langsung (FDI) dan pelaburan domestik langsung (DDI) dari 2020 hingga 2023 dengan menyenaraikan pelaburan di setiap negeri. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan