EKONOMI > BERITA

KDNK MALAYSIA DIUNJUR NAIK 4.9 PERATUS PADA 2025-- FIRMA PENYELIDIKAN

17/12/2024 07:37 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjur berkembang sebanyak 4.9 peratus pada 2025, didorong oleh faktor dalaman dan dipengaruhi oleh ketidakpastian ekonomi global, menurut firma penyelidikan.

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata unjuran ini menandakan penyederhanaan daripada pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus dicatatkan pada sembilan bulan pertama 2024, yang dikaitkan dengan interaksi antara faktor dalaman yang kukuh serta cabaran luaran berkaitan dengan perkembangan global.

Ia juga termasuk kemungkinan perubahan dasar perdagangan di bawah jawatan presiden kali kedua, Donald Trump.

"Dua faktor domestik utama yang mendorong ekonomi Malaysia. Pertama, kitaran pelaburan negara tetap kukuh yang dicerminkan dalam pertumbuhan pembentukan modal tetap kasar yang konsisten.

"Momentum yang berterusan dalam pelaburan yang diluluskan sejak 2021 kini diterjemahkan kepada peningkatan pelaburan sebenar dan yang telah direalisasikan.

"Ini selaras dengan aliran meningkat dalam kadar pelaksanaan pelaburan pembuatan yang diluluskan, peningkatan import barangan modal serta pinjaman sistem perbankan yang lebih tinggi untuk bangunan perindustrian dan pendapatan korporat," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Keduanya, Maybank IB mengunjurkan langkah peningkatan pendapatan dalam Belanjawan 2025 yang akan mendorong perbelanjaan pengguna seperti semakan gaji dan pencen perkhidmatan awam yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM12.3 bilion untuk bayaran gaji serta pencen dalam perbelanjaan operasi Kerajaan Persekutuan.

Selain itu, terdapat juga pemberian wang tunai yang lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah, peningkatan, lanjutan dan penambahbaikan dalam pengecualian cukai pendapatan peribadi serta kenaikan gaji minimum bulanan kepada RM1,700 daripada RM1,500.

Dalam nota penyelidikan berasingan, Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) pula berkata unjuran ini, yang sedikit lebih rendah daripada 5.0 peratus pada 2024 adalah dalam persekitaran global yang mencabar tetapi masih dalam julat sasaran kerajaan iaitu antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

"Pertumbuhan ini akan disokong oleh peningkatan yang mantap dalam pasaran buruh, langkah meningkatkan pendapatan, pemulihan pelancongan berterusan dan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan," katanya.

HLIB berkata inflasi dijangka meningkat kepada 2.7 peratus tahun ke tahun pada 2025 daripada anggaran 1.9 peratus pada 2024, dengan potensi tekanan meningkat, bergantung pada masa pembaharuan subsidi RON95 yang mungkin diperkenalkan pada separuh kedua 2025.

"Memandangkan tekanan inflasi didorong oleh bekalan, di samping peningkatan risiko luaran daripada rancangan tarif Trump, kami menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada tiga peratus untuk 2025," katanya.

Masalah global, termasuk ketidaktentuan yang mengelilingi dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) di bawah potensi sekembalinya Trump, menimbulkan risiko kepada ekonomi Malaysia, namun, HLIB menjangkakan pendekatan tarif yang lebih disasarkan berbanding langkah menyeluruh yang diambil sebelum ini.

Dari segi monetari, Rizab Persekutuan AS dijangka meneruskan kitaran penurunan kadar faedahnya pada 2025, walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu 50 mata asas berbanding 100 mata asas yang dijangkakan sebelum ini.

“Walaupun menghadapi masalah luaran, Malaysia berada di landasan yang lebih kukuh dengan pertumbuhan yang stabil, pembaharuan subsidi yang berterusan, saluran pelaburan yang teguh dan iklim politik yang lebih stabil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan