KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Isu perobohan rumah milik balu anggota polis yang terkorban dalam Tragedi Tanduo telah dieksploitasi dan dimanipulasi pihak tertentu bagi melemahkan operasi perobohan rumah setinggan pendatang haram di Semporna yang sedang dilaksanakan.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata rumah yang dimaksudkan itu sebenarnya milik ayah kepada balu tersebut dan tidak didiami oleh wanita itu, sebaliknya didiami oleh ahli keluarganya.
Beliau turut menjelaskan tiada perancangan untuk merobohkan rumah berkenaan kerana operasi hanya menyasarkan rumah setinggan pendatang haram bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terbabit.
“Kami mendapati isu ini tidak benar, balu berkenaan tidak tinggal di rumah berkenaan...penama ini (balu itu) tinggal di daratan dan punyai rumah sendiri. Pihak berkuasa juga tidak pernah mengeluarkan apa-apa ugutan ke atas individu berkenaan.
“Rumah milik warganegara Malaysia dijumpai semasa operasi ini tidak akan dirobohkan, sejumlah 3,257 rumah yang telah dirobohkan dalam operasi...tiada satu pun rumah milik warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Semalam, sebuah portal berita melaporkan Sitti Bandorah Mahalil iaitu balu kepada Sarjan Abd Azis Sarikon yang terkorban dalam Tragedi Tanduo pada 2013, mendakwa rumah mereka di Kampung Alab, sebuah perkampungan air di Pulau Bodgaya, Semporna, menjadi antara kawasan disasarkan untuk dirobohkan.
Jauteh berkata pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna telah bertemu dengan keluarga tersebut bagi mengetahui keadaan sebenar dan wanita berkenaan menyatakan mungkin ada sedikit salah faham ketika penerangan diberikan tentang kawasan yang terletak dalam kawasan Taman-Taman Sabah itu.
“Mereka ini (keluarga itu) berada di sana sejak tahun 80an, itu sebab kita tidak meneruskan operasi ini (di kawasan itu),” katanya sambil menegaskan pihak kerajaan sentiasa menjaga kebajikan balu itu.
Beliau berkata polis sedang meneliti perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan mengambil tindakan kepada pihak yang mengeksploitasi dan memanipulasi isu perobohan rumah setinggan pendatang haram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial