KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas), melalui Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), dengan kerjasama Beicip Franlab Asia, telah memulakan kajian ke atas lembangan bersepadu untuk meneroka sumber yang belum diterokai di Lembangan Melayu, yang terletak di luar pantai Semenanjung Malaysia.
Kajian ini memanfaatkan pemodelan 4D serta teknologi pembelajaran mesin termaju bagi menganalisis seni bina bawah permukaan pada skala lembangan dan takungan, kata kumpulan tenaga global itu melalui satu kenyataan hari ini.
“Ia turut memberi tumpuan kepada meramalkan pemindahan dan pemerangkapan hidrokarbon dengan memanfaatkan data besar dari Lembangan Melayu.
“Sejak 1970-an, Lembangan Melayu telah mengeluarkan lebih sembilan bilion tong setara minyak, memperoleh statusnya sebagai 'super basin',” katanya.
Petronas berkata aktiviti penerokaan baru-baru ini telah memperoleh penemuan baharu yang penting, menonjolkan potensi berterusan lembangan itu.
Selain hidrokarbon, lembangan itu membentangkan peluang penangkapan dan penyimpanan karbon yang besar, meletakkannya sebagai pemain utama dalam pembangunan tenaga mampan.
“Lembangan Melayu, yang sering dianggap sebagai matang, masih mempunyai potensi besar yang belum diterokai, seperti yang dicerminkan dalam penemuan seperti Bunga Aster dan Bekok Deep.
“Melalui kerjasama dengan Beicip Franlab Asia mengenai kajian lembangan bersepadu serta inisiatif geofizik yang didayakan oleh kecerdasan buatan kami dengan Earth Science Analytics, kami berhasrat untuk mentakrifkan semula perkara yang mungkin dan membuka peluang baharu di rantau yang produktif ini,” kata Pengurus Besar Kanan Penerokaan Sumber MPM, Azmir Zamri.
Petronas kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum selain menyelia aktiviti huluan petroleum di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial