EKONOMI > BERITA

ASEAN Perlu Capai Kata Sepakat Dalam Pelaksanaan Cukai Minimum Global -- Liew

08/01/2025 03:50 PM

KUALA LUMPUR, Jan 8 (Bernama) -- Negara anggota ASEAN perlu berusaha untuk mencapai kata sepakat berkenaan pelaksanaan cukai minimum global (GMT) apabila negara-negara mula menerima pakai cukai tersebut, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Beliau juga menggesa negara-negara anggota ASEAN agar tidak bersaing dalam mengurangkan kos dari segi gaji, pemotongan cukai, atau pelepasan cukai tetapi sebaliknya mengekalkan standard alam sekitar.

Liew berkata ASEAN perlu muncul sebagai masyarakat kelas pertengahan dalam tempoh dua dekad akan datang dan seterusnya menjadi pasaran pengguna yang besar, bukan hanya sebagai tapak pengeluaran bagi perindustrian bertunjangkan eksport.

“Ia (ASEAN) sudah biasa dengan model lama perindustrian ini yang membantu syarikat multinasional menekan gaji untuk menjadikan kita destinasi pengeluaran yang murah. ASEAN juga sudah biasa memberikan potongan atau pelepasan cukai kepada syarikat multinasional.

“Kita perlu bersatu hati dan memberitahu syarikat multinasional bahawa kita perlu mengutip cukai ini untuk kebaikan rakyat kita agar ASEAN boleh muncul sebagai masyarakat kelas pertengahan, yang seterusnya akan menjadi pasaran yang amat besar untuk semua, termasuk multinasional,” katanya dalam ucapan perasmian persidangan ASEAN Economic Opinion Leaders Conference: Outlook for 2025, di sini, hari ini.  

Liew berkata GMT merupakan salah satu isu yang akan dibincangkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.

“Tetapi objektif yang lebih luas adalah untuk mengukuhkan rantaian bekalan, mengukuhkan rantau kita sebagai kuasa pertengahan serta ASEAN sebagai masyarakat kelas pertengahan yang kukuh yang dapat membantu kita menjadi pasaran pengguna yang besar kerana kita perlu bergantung kepada perindustrian diterajui eksport bagi tempoh yang lama,” katanya.

Liew berkata jika hala tuju rantaian bekalan global diserahkan kepada kuasa-kuasa besar, ia berisiko terbahagi dua apabila Amerika Syarikat dan China sudah tidak sependapat antara satu sama lain.

“Dunia sudah pastinya tidak mahu melihat rantai bekalan yang bercabang-cabang.

“Oleh itu, ASEAN, bersama-sama dengan Kesatuan Eropah (EU), Global South dan lain-lain, perlu berusaha keras untuk memastikan kesepakatan yang padu bagi mengelakkan berlakunya pembahagian rantaian bekalan,” katanya.

Dalam konteks ini, beliau berkata Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura berpotensi untuk mencipta masa depan yang menarik dan menjadi contoh teladan.

Beliau berkata, dengan adanya lebih banyak projek pelaburan bersama seluruh ASEAN atau kerjasama serantau akan membantu mengukuhkan lagi rantaian bekalan ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan